Kebimbangan penduduk sekitar Bukit Cherakah jadi kenyataan

LocalEnvironment
7 Nov 2026 • 9:40 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kebimbangan penduduk sekitar Bukit Cherakah jadi kenyataan

SHAH ALAM: Kebimbangan penduduk terhadap kesan aktiviti penerokaan hutan di sekeliling Hutan Simpan Bukit Cherakah menjadi kenyataan apabila beberapa kawasan ibu negeri Selangor dilanda banjir kilat berulang sepanjang tahun ini termasuk kejadian terbaharu minggu ini.

Keadaan itu didakwa mempunyai kaitan dengan aktiviti pembersihan hutan di pinggir kawasan simpan berkenaan susulan sebahagian kawasan hutan seluas lebih 1,200 hektar itu dikatakan telah dinyahwarta.

Penyahwartaan berkenaan didakwa dibuat berdasarkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 2000, sebelum diwartakan pada 2022.

Pengerusi Permuafakatan Persatuan Penduduk Puncak Alam, Mohd. Hanif Md. Sultan berkata, kawasan 360 darjah di sekeliling Hutan Simpan Bukit Cherakah kini berdepan kejadian banjir kilat berulang sepanjang tahun ini, termasuk insiden terbaharu, susulan aktiviti pembersihan hutan di pinggir kawasan simpan itu.

Katanya, keadaan itu menimbulkan kebimbangan penduduk mengenai lokasi seterusnya yang bakal terjejas apabila hampir keseluruhan kawasan di sekeliling hutan simpan berkenaan, termasuk Bukit Subang, Denai Alam, Sungai Buloh, Saujana Utama, Puncak Alam dan sepanjang Persiaran Mokhtar Dahari, Shah Alam, sudah mengalami kejadian banjir kilat.

Beliau berkata, kerakusan pembersihan hutan bagi pembangunan atas nama kemajuan ekonomi itu akhirnya menyebabkan banjir berlaku di mana-mana.

“Kekerapan banjir kilat yang berlaku terutama di kawasan sepanjang Sungai Buloh dan Puncak Alam dipercayai akibat kegagalan menampan limpahan hujan lebat di tapak-tapak yang sudah dibersihkan dengan tujuan pelbagai pembinaan.

“Sebagai contoh di sepanjang Persiaran Mokhtar Dahari sehingga ke Puncak Alam, banyak pembangunan berlaku, tetapi saya percaya sebahagian pemaju gagal menyediakan kolam tadahan dan saliran yang sepatutnya.

“Walaupun ada kolam tadahan dan saliran tetapi akhirnya aliran itu bergantung kepada longkang sedia sebelum limpahan hujannya dialirkan ke sungai. Sedangkan longkang yang ada itu adalah untuk kapasiti pembangunan terdahulu, bukannya untuk pembinaan-pembinaan kemudian.

“Justeru, kontraktor atau pemaju sepatutnya membuat sistem saliran secara menyeluruh selain kolam tadahan mereka sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Malah, Mohd. Hanif turut mengulas insiden limpahan air dari kolam tadahan di Taman Seri Alam, Saujana Utama dan menggesa kerajaan negeri serta pihak berkuasa menyelenggara kolam sedia ada.

“Seperti yang berlaku di Taman Seri Alam kelmarin, kita tidak tahu air yang begitu banyak melimpah itu datang dari mana? Tak mustahil juga dari hutan di Bukit Cherakah kerana banyak kawasan di situ sudah pun dibersihkan.

“Jadi saya yakin, ia turut menghanyutkan hakisan tanah, lumpur atau pasir menyebabkan kolam tadahan sedia ada semakin cetek. Selain Saujana Utama, di Bandar Puncak Alam ada sekurang-kurangnya enam kolam tadahan.

“Ia perlu diselenggara, digali semula hakisan tanah supaya kolam tadahan kembali dalam dan mampu menampung limpahan air hujan di kawasan pembangunan-pembangunan baharu termasuk di hutan yang dibersihkan,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan, penduduk tidak menolak pembangunan demi kemajuan ekonomi, namun kerajaan perlu memastikan pemaju atau kontraktor membina kolam tadahan dan saliran air yang berkesan.

Semalam akhbar ini melaporkan, pembersihan sebahagian kawasan Hutan Simpan Bukit Cherakah yang dinyahwarta sejak 26 tahun lalu didakwa menyebabkan penyerapan hujan di tengah bandar raya ini semakin merosot.

Keadaan itu menyebabkan limpahan air hujan tidak lagi mampu ditampung longang dan sungai berhampiran sedia ada.

Akibat daripada situasi tersebut, mutakhir ini banjir kilat yang berlaku di Shah Alam kerap kali dilaporkan terutama di kawasan yang berhampiran dengan kawasan hutan berkenaan seperti Bukit Jelutong, Denai Alam, Persiaran Mokhtar Dahari, Puncak Alam, Sungai Buloh dan Ijok.

Sementara itu, Penasihat Persatuan Rimba Komuniti Shah Alam (SACF), Dr. Lim Teck Wyn memberitahu, beliau tidak menyangka kejadian banjir yang berlaku adalah di kawasan sekeliling Hutan Simpan Bukit Cherakah itu sendiri.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan kejadian banjir tersebut tidaklah berpunca 100 peratus daripada nyahwarta hutan yang dibuat sejak tahun 2000.

“Namun hutan sememangnya berfungsi sebagai span yang menyerap air. Ia melambatkan limpahan air hujan supaya tidak terus masuk ke sungai seperti ‘kepala air’. Jika hutan dibersihkan pastinya aliran air akan menyebabkan hakisan tanah.

“Saya memang terkejut melihat kejadian banjir berhampiran hutan berkenaan begitu besar di Puncak Alam, Denai Alam, Persiaran Mokhtar Dahari dan kawasan-kawasan berhampiran,” katanya.

Bahkan, aktivis yang pernah memperjuangkan rimba komuniti di Bukit Cherakah itu turut menyatakan kebimbangan jika pembersihan pinggir kawasan hutan tersebut tidak dibendung akan meningkatkan risiko tinggi pelbagai bencana lain termasuk tanah runtuh.

“Selain bertindak seperti menyerap air, pokok juga berfungsi memegang tanah melalui akarnya supaya tidak berlaku hakisan tanah. Jika ia terus dibersihkan risiko pelbagai bencana lain boleh berlaku.

“Bayangkan di bahagian atas kawasan Utara Hutan Simpan Bukit Cherakah terdapat empangan Subang. Risiko terlalu tinggi jika berlaku tanah runtuh,” jelasnya. – UTUSAN

The post Kebimbangan penduduk sekitar Bukit Cherakah jadi kenyataan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved