Kecederaan triseps ragut impian Nur Dhabitah bersama Pandelela ke Olimpik Paris

7 Feb 2024 • 3:15 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Kecederaan triseps dialami penerjun elit negara Nur Dhabitah Sabri, memusnahkan impiannya untuk menempah slot ke Sukan Olimpik Paris 2024 bersama Datuk Pandelela Rinong.

Pada Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar semalam, Nur Dhabitah Sabri dan Pandelela sekadar menamatkan saingan di kedudukan ke-12 daripada 16 pesaing, dengan mengutip 240.06 mata keseluruhan menerusi acara 10 meter (m) platform seirama.

Pengarah Teknikal Persekutuan Renang Malaysia Bryan Nickson Lomas berkata persiapan skuad terjun negara berjalan lancar, yang menyaksikan mereka ‘berkampung’ selama dua bulan di China, namun beberapa perkara di luar kawalan terjadi sebaik tiba di Qatar.

“Kita harapkan untuk buat lebih baik, tetapi ada sikit kekangan sebab Dhabitah ada kecederaan triseps dan pemulihan beliau sebenarnya on track dan kita akui atlet memang ada rasa sedikit tekanan, walaupun persiapan sebelum itu semua lancar,” katanya kepada Bernama hari ini.

Bryan berkata Dhabitah masih mempunyai dua lagi acara dalam usaha memburu tiket ke temasya Olimpik, iaitu 3m papan anjal dan 3m papan anjal seirama bersama Wendy Ng.

Namun, Pandelela yang mempunyai impian besar untuk melakukan penampilan kali kelima berturut-turut di temasya empat tahun sekali itu terkubur, selepas gagal di acara 10m platform seirama dan 10m platform individu.

Pada Ahad lalu, Pandelela hanya menduduki tempat ke-29 dengan 231.15 mata, ketinggalan 204.05 mata di belakang juara dunia Chen Yuxi (435.20 mata), pada pusingan kelayakan acara 10m platform individu di Doha.

Setakat ini, penerjun muda Bertrand Rhodict Lises muncul penerjun tunggal yang layak secara merit ke Sukan Olimpik 2024.

Atlet yang berasal dari Sarawak itu membuat penampilan sulung di Olimpik selepas mara ke final acara 10m platform individu lelaki dan menjadi antara 12 penerjun terbaik pada Kejohanan Akuatik Dunia 2023 di Fukuoka, Jepun.

Sementara itu Setiausaha Agung MS Andy Low berpendapat tuah tidak memihak kepada ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong untuk membuat penampilan kali kelima berturut-turut pada Sukan Olimpik Paris 2024 yang dijadual bermula 26 Julai hingga 11 Ogos depan.

Pandelela sebelum ini pernah beraksi dalam empat Sukan Olimpik bermula dari Beijing 2008, London 2012, Rio 2016 dan Tokyo 2020.

Beliau berkata tidak perlu menuding jari kepada mana-mana pihak atas kegagalan berkenaan memandangkan persiapan terbaik sudah dilakukan semua pihak berkepentingan bagi membantu mempersiapkan pemenang pingat gangsa Olimpik London 2012 itu sejak tujuh bulan lepas.

“Tiada rezeki (untuk Pandelela) sebab persediaan memang paling baik sudah kita buat. Apa yang diperlukan (Pandelela) juga kita sudah buat dan doktor juga sudah rawat kecederaannya (dengan baik).

“.... dan apabila kita gagal, tak payah alasan, hanya akui kita gagal. Alasan pun tak ada orang mendengar kan? Jadi sama ada kita katakan maaf kerana gagal, atau kita akan cuba yang terbaik selepas ini. Saya rasa kesemua penerjun telah cuba yang terbaik. Apa lagi yang boleh dikatakan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sementara itu, menyentuh mengenai prestasi hambar skuad terjun negara secara keseluruhan pada Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar, yang membuka tirai pada 2 Feb hingga 18 Feb, Andy berkata pihaknya akan melaksanakan proses bedah siasat bagi mengetahui secara menyeluruh apa yang berlaku di Qatar.

“Kita kena buat sedikit post-mortem (bila sudah selesai pertandingan) apa sebenarnya berlaku. Memang semua orang sedang mengeluh, pelaburan telah buat, tapi hasilnya tidak ada,“ katanya. -Bernama