Kecerdasan buatan uji iman, akhlak

TechnologyOpinion
15 Aug 2026 • 9:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kecerdasan buatan uji iman, akhlak

PERKEMBANGAN kecerdasan buatan (AI) mengubah cara manusia berkomunikasi, bekerja dan menjalani kehidupan.

Statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan sebanyak 100 kes penipuan cinta direkodkan pada Januari 2026 berbanding 95 kes pada tempoh sama tahun sebelumnya.

Walaupun jumlah kerugian menurun kepada RM3.5 juta berbanding RM4.9 juta, namun kesannya terhadap emosi, kepercayaan dan kehormatan mangsa tetap besar.

Golongan wanita mencatatkan 60 peratus daripada keseluruhan mangsa, manakala 72 peratus melibatkan individu berusia antara 30 hingga 50 tahun.

Modus operandi sindiket semakin canggih apabila mereka membina profil palsu yang kelihatan meyakinkan, menghasilkan mesej romantik menggunakan AI, meniru suara dan wajah melalui teknologi deepfake serta menjalinkan hubungan sehingga mangsa menyerahkan wang atau maklumat peribadi.

Lebih membimbangkan, kandungan yang dimanipulasi turut digunakan sebagai alat ugutan dan pemerasan.

Dari perspektif Islam, penyalahgunaan AI bukan melibatkan pelanggaran amanah, penipuan (ghish), pembohongan (kadhib), pengkhianatan (khiyanah) serta pencabulan terhadap pemeliharaan maruah insan (ifẓ al-‘ir).

Justeru, cabaran ini memerlukan penyelesaian yang berpaksikan nilai agama dan pembentukan akhlak, di samping penguatkuasaan undang-undang.

Prinsip tabayyun perlu dijadikan amalan dengan menyemak kesahihan maklumat sebelum mempercayai atau menyebarkannya.

Pada masa sama, setiap bentuk penipuan dan pemalsuan identiti jelas dilarang, sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang menipu, maka dia bukan daripada golongan kami.” (Riwayat Muslim).

Pergaulan di alam siber juga perlu dipandu adab serta batas syarak kerana identiti di ruang digital tidak semestinya menggambarkan realiti.

Sikap wasatiyyah pula mengajar umat Islam menggunakan AI secara seimbang tanpa mengabaikan hubungan dengan keluarga, masyarakat dan Allah SWT.

Dalam masa sama, prinsip amar makruf nahi mungkar menuntut masyarakat melaporkan kandungan palsu, menyekat penyebar fitnah serta memberikan sokongan kepada mangsa.

Semua usaha ini hanya akan benar-benar berkesan apabila disertai sifat takwa. Keimanan menjadi benteng yang membimbing manusia menggunakan teknologi secara beretika, sekali gus memastikan AI dimanfaatkan untuk kebaikan, bukannya dijadikan alat merosakkan maruah dan kehormatan insan. –UTUSAN

 

NUR FAEZAH MUSTHAPAR
Pusat Sains Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah

The post Kecerdasan buatan uji iman, akhlak appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved