‘Saya pandu kereta yang Karamjit guna masa perlumbaan’

SportsMovie
11 Aug 2026 • 9:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Saya pandu kereta yang Karamjit guna masa perlumbaan’

PADA 2002, nama Malaysia mekar di pentas sukan permotoran antarabangsa apabila anak tempatan, Karamjit Singh menjuarai FIA Production Car World Rally Championship (PWRC) menerusi percubaan pertamanya. 

Kejayaan cemerlang bergelar juara dunia itu bukan sahaja melonjakkan namanya, malah berjaya meletakkan nama Malaysia di peta sukan rali antarabangsa. 

Setelah dua dekad berlalu, kisah kejayaan dan kecekalan ikon sukan rali negara itu bakal diangkat ke layar perak menerusi filem biopik Terbang yang dijadualkan menemui penonton di pawagam pada 17 September depan.

Menerusi naskhah tersebut itu, pelakon Irfan Zaini apabila diberi kepercayaan membawakan watak utama sebagai Karamjit Singh. 

Image from: ‘Saya pandu kereta yang Karamjit guna masa perlumbaan’
MENGANGKAT kisah hebat Karamjit Singh di litar antarabangsa, filem Terbang diharap dapat membuka mata orang ramai terhadap sumbangan besar tokoh sukan itu yang berjaya mengangkat nama Malaysia di persada dunia.

Takut

Menyedari diri masih ‘hijau’ Irfan mengakui pada mulanya dia dihantui perasaan gementar menggalas tanggungjawab besar itu apatah lagi ini kemunculan sulungnya sebagai hero filem Melayu. 

“Ketika mula-mula ditawarkan watak ini, rasa takut sangat sebab ini filem Melayu pertama saya jadi hero. Tanggungjawab ini sangat besar.  

“Lebih gementar naskhah ini mengenai kisah hidup legenda wira Malaysia, Karamjit Singh. 

“Bagi saya amanah ini sangat berat. Risau dibuatnya tetapi selepas dapat pertolongan daripada pasukan produksi Terbang dan pelakon lain seperti Zizan dan Jack Tan, saya  okey,” katanya kepada HibGlam.

Selain memikul watak hero, pelakon berusia 31 tahun itu mengakui mengendalikan kenderaan rali bukan satu tugas mudah.

“Selain lakonan, saya kena nampak macam pro (mahir) bawa kereta rali sebab ini bukan jentera biasa, memang susah.

“Walaupun berlakon, saya kena fokus juga. Perlu tahu macam mana nak tukar gear, bila nak tekan brek dan bagaimana kawal kereta. 

“Jadi, saya mengikuti sesi latihan hampir dua bulan dengan pasukan Karamjit. Ada beberapa ‘stunt’ yang saya buat sendiri tapi tak sama macam Karamjit,” jelasnya. 

Image from: ‘Saya pandu kereta yang Karamjit guna masa perlumbaan’
IRFAN mengakui betapa bertuahnya dia dapat berguru dengan Karamjit dan menyelami hidup tokoh sukan ternama itu. – SYAKIR RADIN

Pandu kereta rali

Lebih mencabar, sepanjang proses penggambaran Irfan dikehendaki memandu kereta rali asli yang pernah digunakan Karamjit ketika menjuarai kejohanan dunia pada 2002.

“Benda paling susah kereta yang saya pandu dalam filem adalah kereta sebenar yang Karamjit guna masa perlumbaan.

“Kereta itu sudah lama, teknologi semua lama. Jadi, cara pemanduan susah sikit sebab kereta rali yang baharu, teknologinya dah berkembang.

“Disebabkan kereta itu daripada 2002, saya terpaksa belajar cara memandu dengan teknik manual yang lama. Benda itu agak susah. 

“Hasil bimbingan Karamjit dan pasukan, saya dapat buat seperti mana yang pengarah harapkan,” ujarnya.

Pada masa sama, pelakon filem Blood Brothers itu mengambil kesempatan bertanyakan pelbagai soalan secara terus kepada Karamjit bagi menyelami emosi, psikologi, serta motivasi seorang pelumba bertaraf dunia ketika beraksi di litar.

Malah, dia mengakui berasa malu kerana sebelum ini kurang ambil tahu impak besar kejayaan Karamjit di peringkat antarabangsa dan berharap orang ramai cakna dengan sumbangan wira negara itu.

“Disebabkan watak ini diinspirasikan daripada kisah benar Karamjit, saya bertanya terus kepadanya mengenai selok-belok sukan rali. Saya cuba selami apa perasaan dia apabila memandu pada kelajuan maksima, ketika menang dan apa pendorongnya untuk berlumba. 

“Saya kenal Karamjit serba sedikit sahaja. Dia ‘stuntman’ terbaik dan hebat sebagai pelumba rali tapi saya tidak tahu mengenai dunia ‘championship’ serta betapa besarnya nama dia di luar negara.

“Kita sepatutnya bangga ada Karamjit. Saya rasa malu sebab ada banyak yang saya tak tahu mengenai dirinya.

“Selepas jadi dirinya dalam filem ini, saya harap sangat semua rakyat Malaysia menghargai Karamjit,” tutupnya. 

 

 

The post ‘Saya pandu kereta yang Karamjit guna masa perlumbaan’ appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved