Kecoh Video Pekerja Disimbah Minuman Oleh Pelanggan, Ini Kenyataan ZUS Coffee

10 Nov 2025 • 5:09 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

Kecoh sejak malam tadi susulan tular video melibatkan seorang barista dan pelanggan di sebuah kedai jenama kopi tempatan popular.

Sehubungan itu, pihak ZUS Coffee telah mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung insiden terbabit.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik di akaun media sosial mereka, pihaknya telah mengambil langkah yang sewajarnya bagi menjalankan siasatan menyeluruh dan sentiasa berada di sisi pekerja mereka.

“Bekerja dalam industri perkhidmatan bukan mudah, dan perkara sebegini tidak sewajarnya berlaku. Kita hanyalah manusia mencuba yang terbaik,” katanya.

Pihak ZUS Coffee turut menggesa semua pihak untuk menghormati privasi mereka yang terlibat dan mengelakkan diri daripada berkongsi atau menyiarkan semula video yang menunjukkan individu terlibat tanpa kebenaran.

Selain itu, orang ramai dinasihatkan untuk mengelakkan diri daripada menyebarkan kenyataan palsu bagi memastikan proses siasatan dijalankan secara telus dan teliti.

Sementara itu, ZUS Coffee menepis dakwaan tular yang mengatakan barista yang terlibat telah diberhentikan.

Pihaknya memaklumkan barista terbabit kini sedang berehat dan memulihkan diri daripada insiden tersebut.

“Kami berharap semua pihak dapat memberi ruang dan masa, sementara kami meneliti perkara ini dengan penuh perhatian,” jelasnya.

image is not available

Terdahulu, tular video seorang barista telah dimarahi dan dicurah minuman oleh seorang pelanggan yang didakwa tidak berpuas hati.

Sumber: Facebook

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.