
MELAKA – Tuduhan bahawa seorang lelaki menjadi punca seorang remaja ditahan polis kerana kes curi motosikal dipercayai menjadi pencetus pergaduhan antara dua kumpulan penunggang motosikal yang tular di media sosial di Tangga Batu awal pagi tadi.
Ketua Polis Melaka, Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 4 pagi di tepi Jalan Tangga Batu berhampiran Masjid Ar-Rabbani.
Menurutnya, insiden tersebut turut dirakam oleh orang awam sebelum video pergaduhan itu tersebar di media sosial.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila mangsa berusia 24 tahun ditegur oleh seorang lelaki yang tidak berpuas hati dan menuduh mangsa menjadi punca adiknya ditahan polis kerana kes curi motosikal.
“Suspek bersama beberapa rakannya kemudian mengepung mangsa sebelum memukulnya di bahu kanan menggunakan topi keledar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, rakan suspek turut mengejar mangsa dan menghayun topi keledar ke arahnya sebelum salah seorang daripada mereka memukul kepala mangsa menggunakan sebatang kayu.
Bagaimanapun, pergaduhan tersebut berjaya dileraikan oleh orang awam yang berada di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, individu yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu dianggarkan berusia antara lingkungan 20-an hingga 30-an.
“Setakat ini polis telah mengenal pasti kira-kira lima individu yang dipercayai terlibat secara langsung dalam pergaduhan tersebut,” katanya.
Tambah beliau, rakaman kejadian dipercayai dimuat naik di laman Facebook melalui akaun “bestfoodtravelmalacca”, namun individu yang merakam video itu masih belum dikenal pasti.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan menggunakan senjata. – MYBERITA



