Rapid Rail Sdn Bhd memaklumkan bahawa kerja-kerja baik pulih sistem semboyan di Laluan Putrajaya masih giat dijalankan susulan gangguan perkhidmatan yang berpunca daripada aktiviti kecurian kabel berhampiran Stesen Kuchai.
Dalam kenyataan semalam, Rapid Rail menjelaskan siasatan awal mendapati aktiviti kecurian kabel komunikasi dan sistem semboyan dikesan berlaku berhampiran Stesen Kuchai, di mana longgokan kabel yang dipotong turut ditemui di kawasan tersebut.
Menurut Rapid Rail, pihaknya bekerjasama dengan MRT Corporation selaku pemilik aset dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan menyeluruh bagi memastikan aktiviti kecurian kabel di sekitar jajaran Laluan Putrajaya dapat dibendung serta tidak berulang.
Hasil siasatan terkini mendapati lebih banyak kabel gentian optik dipotong, dipercayai akibat aktiviti sama. Kejadian itu memerlukan proses pembaikan menyeluruh bagi memastikan operasi tren kembali stabil dan selamat.
GANGGUAN SISTEM SEMBOYAN:
LALUAN PUTRAJAYA DITUTUP AWAL PADA JAM 10.00 MALAM UNTUK KERJA BAIK PULIH
– Bas perantara percuma disediakan dari Stesen Kwasa Damansara ke Putrajaya Sentral sehingga tamat waktu operasi stesen pic.twitter.com/QQgSzNVZFO
Baca juga:
Gangguan Perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya: Laporan Polis telah dibuat di Balai Polis Brickfields Kuala Lumpur. Untuk makluman perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya akan ditamatkan jam 10malam bagi memberi laluan kepada kerja-kerja baik pulih. Laluan lain beroperasi seperti biasa. pic.twitter.com/Ydr1jlhgJO
Tren bergerak perlahan, bas perantara disediakan
Buat masa ini, tren dari Stesen Kwasa Damansara ke Stesen Putrajaya Sentral dipandu secara manual sebagai langkah keselamatan, menyebabkan pergerakan tren lebih perlahan dan berhenti lebih lama di setiap stesen.
Kekerapan tren dijangka setiap 20 hingga 30 minit, bergantung kepada keadaan semasa.
Bagi membantu penumpang, perkhidmatan bas perantara ulang-alik percuma turut disediakan antara Stesen Kwasa Damansara dan Stesen Putrajaya Sentral.
Kekerapan bas dijangka setiap 15 hingga 20 minit, tertakluk kepada keadaan trafik semasa.
Bantuan dan maklumat terkini
Penumpang yang memerlukan bantuan boleh mendapatkan pertolongan daripada petugas stesen atau anggota polis bantuan yang ditempatkan di stesen berkenaan.
Rapid Rail turut menasihatkan penumpang untuk merujuk kepada laman media sosial Rapid KL dan aplikasi PULSE bagi mendapatkan maklumat serta perkembangan terkini status perkhidmatan.
Syarikat itu turut menzahirkan permohonan maaf atas segala kesulitan yang dialami dan menghargai kesabaran serta kerjasama semua pengguna sepanjang tempoh gangguan ini.
The post Kecurian kabel jejas operasi tren laluan Putrajaya appeared first on The Reporter.



