Kecurian logam punca gangguan bekalan air di Ujana Kingfisher

26 Jun 2026 • 4:24 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Kecurian logam punca gangguan bekalan air di Ujana Kingfisher

KECURIAN logam dipercayai menjadi antara punca gangguan bekalan air yang dialami pengguna di Ujana Kingfisher sejak beberapa hari lalu.

Kakitangan Jabatan Air yang menjalankan pemeriksaan susulan aduan gangguan bekalan di kawasan Inanam pada Rabu mendapati rumah pam di luar Jalan Raja Udang telah dipecah masuk.

Jurucakap jabatan berkata pihak tidak bertanggungjawab itu memecahkan kunci pagar hadapan secara paksa sebelum membuat satu lubang pada bahagian dinding belakang bangunan.

“Pencuri turut merosakkan pam utama dan pam simpanan.

“Mereka juga mengganggu kabel di dalam panel kawalan serta kabel yang menuju ke bangunan berkenaan,” katanya.

Menurutnya pasukan teknikal jabatan kemudian segera menggantikan komponen yang hilang dan membaiki pam yang rosak beberapa jam selepas kejadian.

“Bekalan ke kawasan perumahan terpaksa dihentikan sementara bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan dijalankan.

“Notis gangguan telah dikeluarkan pada jam 9 malam, Rabu untuk memaklumkan penduduk mengenai gangguan bekalan air sepanjang tempoh pembaikan.

Katanya penduduk Kingfisher dinasihatkan menggunakan bekalan air dalam tangki simpanan secara berhemah sementara menunggu pemulihan penuh bekalan.

“Kerja-kerja pembaikan telah siap semalam pada sebelah petang, dengan penduduk serta pekerja di kawasan Inanam ini kembali menerima bekalan air selepas tekanan dalam paip yang menuju ke premis masing-masing kembali mencukupi,” ujarnya.

Menurut jurucakap laporan polis telah dibuat berhubung kecurian kabel tersebut.

Ujarnya pihak polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti pihak yang terlibat dalam pencerobohan rumah pam berkenaan.

Beliau berkata agensi berkenaan sedang meneliti langkah terbaik untuk meningkatkan tahap keselamatan di premis tersebut.

“Kami sedang mempertimbangkan dengan serius kemungkinan menggantikan pagar sedia ada dengan pagar baharu yang mempunyai ciri ‘anti-panjat’,” maklumnya.

Walaupun tidak memperincikan ciri tersebut, beliau tidak menolak kemungkinan pagar berkenaan juga boleh dilengkapi ciri elektrik.

Apabila ditanya mengenai kekerapan penyelenggaraan dua pam berkenaan, beliau berkata ia dilakukan mengikut jadual tetap.

“Pam diperiksa setiap dua atau tiga bulan sekali.

“Penyelenggaraan berkala ini melibatkan pemeriksaan panel kawalan termasuk sensor automatik bagi memastikan ia berfungsi dengan baik.

“Komponen pam juga dilincirkan apabila perlu,” jelasnya.

Sebelum insiden vandalisme terbaru itu pihaknya menerima laporan mengenai bekalan air yang terputus-putus di Lorong Ujana 11.

“Kami dimaklumkan bahawa sebahagian pengguna di kawasan perumahan itu tidak menerima bekalan air selama tiga hari,” katanya.

Beliau berkata masalah itu berkemungkinan berpunca daripada paras rendah dalam tangki imbangan yang membekalkan air ke kawasan perumahan tersebut.

“Kakitangan kami sentiasa memantau paras air dalam sistem ini secara berkala bagi memastikan bekalan mencukupi sampai ke kawasan Inanam ini.

“Jika perlu kerja-kerja pengimbangan air akan dilakukan bagi menstabilkan bekalan kepada pengguna komersial dan kediaman di sini,” tegasnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved