Kedah gagal dapat kebenaran rayu keputusan berkait lesen judi

LocalPolitics
12 Aug 2026 • 2:02 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Kedah gagal dapat kebenaran rayu keputusan berkait lesen judi

PUTRAJAYA – Kerajaan Negeri Kedah gagal memperoleh kebenaran untuk meneruskan rayuan di Mahkamah Persekutuan pengeluaran dan memperbaharui lesen premis perjudian di negeri itu.

Ia selepas panel tiga hakim yang diketuai Datuk Rhodzariah Bujang sebulat suara menolak permohonan yang difailkan kerajaan negeri itu.

Bagi kes-kes sivil, mana-mana pihak yang ingin merayu ke Mahkamah Persekutuan perlu mendapatkan kebenaran sebelum boleh berbuat demikian.

Pada 2022, Kerajaan Negeri Kedah memutuskan untuk tidak lagi mengeluarkan atau memperbaharui lesen premis perjudian di negeri itu, menyebabkan lesen sedia ada tidak disambung selepas tempoh sahnya tamat.

Keputusan itu kemudian dicabar oleh beberapa syarikat pengendali perjudian yang memfailkan tindakan di Mahkamah Tinggi Alor Setar, antaranya dengan alasan kerajaan negeri tidak mempunyai bidang kuasa untuk menghalang pengeluaran dan pembaharuan lesen berkenaan.

Pada 12 Disember 2025, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Kerajaan Negeri Kedah atas alasan rayuan terbabit tidak bermerit sekaligus mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Alor Setar yang sebelum itu memihak kepada pengendali syarikat pertaruhan yang mencabar tindakan kerajaan negeri itu.

Terdahulu, panel terbabit memutuskan persoalan undang-undang yang dibangkitkan tidak memenuhi ambang yang ditetapkan di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

“Kami menolak permohonan rayuan itu kerana tidak yakin bahawa ambang tinggi di bawah Seksyen 96(a) telah dipenuhi.

“Isu bidang kuasa yang dikemukakan di hadapan kami juga tidak pernah dibangkitkan di hadapan mahkamah (sebelum ini),” kata Hakim Rhodzariah bersidang bersama-sama Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azmi Ariffin.

Mahkamah turut memerintahkan kos sebanyak RM50,000 dibayar kepada enam responden yang juga pengendali syarikat pertaruhan.

Pada prosiding itu, Kerajaan Negeri Kedah diwakili peguam, Tan Sri Azhar Azizan Harun manakala peguam, Brian Foong Mun Loong mewakili enam pengendali syarikat pertaruhan.

Dalam pada itu, Mun Loong ketika ditemui berkata, keputusan itu menandakan larangan pembaharuan lesen premis perniagaan terbabit telah dibatalkan.

Katanya, anak guamnya kini boleh memohon semula lesen premis perniagaan dan tiada sebab untuk permohonan itu ditolak. – KOSMO! ONLINE

The post Kedah gagal dapat kebenaran rayu keputusan berkait lesen judi appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved