Keputusan kekal larangan berjudi mendukacitakan rakyat Kedah

LocalPolitics
12 Aug 2026 • 4:20 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Keputusan kekal larangan berjudi mendukacitakan rakyat Kedah

ALOR SETAR: Pas Kedah kecewa dengan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan negeri mendapatkan kebenaran merayu berhubung pengeluaran lesen perjudian di Kedah.

Pesuruhjayanya, Datuk Ahmad Yahaya berkata, meskipun akur dengan ketetapan yang dibuat pihak mahkamah, keputusan tersebut turut mendukacitakan seluruh rakyat Kedah.

“Sangat ironi apabila langkah kerajaan negeri mengamalkan prinsip mencegah kerosakan dalam masyarakat dibantah oleh pihak tertentu sehingga mereka sanggup membawa kes ini ke mahkamah sejak awal. 

“Inilah yang amat dikesali. Bagaimana ada pihak yang masih tegar mempertahankan jenayah perjudian dalam negeri meskipun usaha kerajaan menutup keseluruhan premis telah dilaksanakan mengikut garis perundangan yang ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan, hari ini menolak permohonan kerajaan Kedah mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Alor Setar berhubung pengeluaran lesen perjudian.

Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan arahan kerajaan Kedah adalah ultra vires (di luar kuasa) serta tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Rhodzariah Bujang sebulat suara menolak permohonan kebenaran merayu itu dan memerintahkan kerajaan negeri membayar kos sebanyak RM50,000.

Turut bersidang dalam panel sama, hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azmi Ariffin.

Berkuatkuasa 1 Januari 2023, Kerajaan Negeri Kedah mengumumkan untuk tidak meneruskan pemberian lesen premis operasi perjudian berdasarkan keputusan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 8 Disember 2021.

Sementara itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, Pas Kedah akan terus mempertahan prinsip amar makruf nahi mungkar dalam aspek pentadbiran dan pemerintahan negeri.

Katanya, sokongan tidak berbelah bahagi diberikan kepada kerajaan negeri atas apa jua tindakan susulan yang wajar diambil selepas pendirian ditetapkan Mahkamah Persekutuan itu.

“Insya-Allah, perjuangan ini tidak akan bertemu titik noktah di sini,” ujarnya. -UTUSAN

The post Keputusan kekal larangan berjudi mendukacitakan rakyat Kedah appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved