Premis makanan dicemari najis tikus diarah tutup

LocalFood
28 Oct 2026 • 10:51 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Premis makanan dicemari najis tikus diarah tutup
Kenyataan JKN Kedah berhubung premis kotor yang dicemari najis tikus.

KULIM – Sebuah premis makanan di daerah ini yang disyaki menjalankan perniagaan menerusi platform penghantaran makanan dalam talian diarahkan tutup selepas pemeriksaan mendapati tahap kebersihannya tidak memuaskan, termasuk penemuan najis tikus di dalam premis.

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pemeriksaan mendapati premis berkenaan hanya memperoleh markah kebersihan sebanyak 37.5 peratus.

Menurut kenyataan itu, beberapa ketidakpatuhan serius dikenal pasti termasuk keadaan lantai, dinding dan peralatan yang kotor, kehadiran lalat serta penemuan najis tikus di dalam premis.

“JKN Kedah telah mengambil tindakan penguatkuasaan dengan mengarahkan premis tersebut ditutup mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 berkuat kuasa mulai 26 Oktober 2026.

“Satu notis kompaun turut dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009,” menurut kenyataan berkenaan.

JKN Kedah berkata, pihaknya mengambil maklum aduan yang tular di media sosial dan dipercayai didedahkan oleh seorang penghantar makanan berhubung tahap kebersihan premis terbabit yang disyaki beroperasi melalui platform penghantaran makanan dalam talian.

Susulan aduan itu, pemeriksaan dijalankan pada 26 Oktober 2026 dan mendapati dakwaan yang dikemukakan adalah berasas.

“Jabatan ini memandang serius sebarang pelanggaran keperluan kebersihan dan keselamatan makanan.

“Semua pengusaha makanan diingatkan supaya sentiasa memastikan premis berada dalam keadaan bersih, melaksanakan kawalan makhluk perosak, mengurus sisa makanan dengan sempurna serta mematuhi semua keperluan perundangan berkaitan keselamatan makanan yang berkuat kuasa,” katanya.

Dalam masa sama, JKN Kedah menegaskan bahawa peranan platform penghantaran makanan dalam talian amat penting dalam memastikan keselamatan makanan kepada pengguna.

Menurutnya, syarikat pengendali platform disaran memperkukuh mekanisme kawalan dalaman termasuk memastikan premis yang disenaraikan memenuhi syarat pelesenan serta keperluan perundangan berkaitan.

“Kerjasama platform penghantaran makanan dalam talian untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap premis yang gagal mematuhi aspek keselamatan dan kebersihan makanan, termasuk mempertimbangkan penyahsenaraian, dapat membantu melindungi kesihatan dan keselamatan pengguna,” katanya.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya memilih premis makanan yang bersih dan selamat serta menyalurkan aduan berkaitan kebersihan dan keselamatan makanan melalui saluran rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved