Kediaman mewah jadi sarang scam pelaburan, sembilan warga China ditahan

LocalBusiness & Finance
25 Jun 2026 • 5:25 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kediaman mewah jadi sarang scam pelaburan, sembilan warga China ditahan
Antara individu yang ditahan polis dalam serbuan di sebuah kediaman di Wangsa Maju pada Khamis.

KUALA LUMPUR - Sebuah unit kediaman mewah yang menjalankan aktiviti pusat panggilan pelaburan dalam talian palsu di Wangsa Maju di sini terbongkar susulan serbuan polis pada Khamis.

Serbuan dijalankan oleh pasukan khas KL Police Strike Force, Polis Kontinjen Kuala Lumpur, pada jam 11 pagi, hasil maklumat awam dan risikan yang dijalankan di kawasan kediaman berkenaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, hasil serbuan pihaknya menemui sembilan lelaki warga negara China dan seorang lelaki warga tempatan dalam satu unit kediaman di tingkat 17, residensi berkenaan.

"Hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan peralatan seperti komputer riba dan telefon bimbit dalam sebuah bilik di kediaman itu yang dijadikan sebagai pusat panggilan.

"Siasatan awal mendapati, kesemua warga China berusia dalam lingkungan 30-an ini menjalankan aktiviti penipuan pelaburan tukaran mata wang asing (Forex Scam) dan menyasarkan mangsa di negara China," katanya kepada media pada Khamis.

Beliau berkata, pihaknya percaya pusat panggilan itu mula beroperasi sejak awal Mei lalu.

"Kita turut menahan seorang lelaki tempatan yang merupakan penghantar makanan secara harian kepada suspek warga China terbabit.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti pemilik yang menyewakan kediaman berkenaan selain ejen atau dalang yang menguruskan kemasukan warga asing terbabit ke negara ini," katanya.

Beliau berkata, pihak polis mengalu-alukan sebarang maklumat daripada orang ramai dan masyarakat setempat yang mengetahui atau melihat sebarang situasi mencurigakan di persekitaran mereka.

"Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Hotline Polis KL di talian 03-21159999 atau datang ke balai polis berhampiran," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved