
SEREMBAN - Tiada keperluan untuk mengemukakan senarai baharu Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), kerana barisan sedia ada masih sah dan akan terus menjalankan tugas seperti biasa.
Menegaskan perkara itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim berkata, pendirian itu dibuat berdasarkan tafsiran undang-undang serta had kuasa eksekutif yang diperuntukkan di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS), khususnya berkaitan kedudukan dan tempoh perkhidmatan anggota Exco.
Beliau berkata, sistem pentadbiran Negeri Sembilan berteraskan prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen, dengan kuasa pemerintahan Raja dalam urusan pentadbiran negeri dilaksanakan berdasarkan nasihat Menteri Besar serta Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
“Perkara 40(1) UUTKNS 1959 menetapkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan hendaklah bertindak atas nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Menteri Besar dalam melaksanakan fungsi pentadbiran atau eksekutif di bawah Bahagian Dua Undang-Undang Tubuh Negeri,” katanya.
Jelas beliau, kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Besar dalam urusan pentadbiran pula terhad kepada perkara yang dinyatakan secara jelas di bawah Perkara 40(2) UUTKNS 1959.
“Kuasa untuk memecat atau menamatkan tempoh perkhidmatan seseorang anggota Exco secara bersendirian tidak termasuk dalam kuasa budi bicara berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.
Ismail berkata, kuasa Yang di-Pertuan Besar untuk memperkenankan pelantikan atau tempoh perkhidmatan seseorang anggota Exco di bawah Perkara 38(5) UUTKNS 1959 tidak boleh ditafsirkan secara berasingan, sebaliknya perlu dibaca bersama Perkara 38(4) dan Perkara 40(1).
Beliau berkata berdasarkan tafsiran berkenaan, sebarang penamatan atau perubahan terhadap barisan Exco ketika sesebuah pentadbiran masih berkuasa hanya boleh berkuat kuasa berdasarkan nasihat atau permintaan rasmi Menteri Besar.
“Oleh itu, sebarang tindakan memecat atau menamatkan keahlian seseorang anggota Exco tanpa nasihat atau permintaan Menteri Besar merupakan kesilapan dari sudut undang-undang, bercanggah dengan Perlembagaan dan tidak mempunyai kuat kuasa undang-undang,” katanya.
Tegas beliau, Menteri Besar tidak pernah dirujuk dan pada bila-bila masa tidak pernah memberikan nasihat berhubung pemecatan mana-mana anggota Exco Kerajaan Negeri Sembilan berdasarkan Perkara 38(5) UUTKNS 1959. - Getaran, 21 September 2026






