
SEREMBAN: Kesemua 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan masih sah untuk terus menjalankan tugas, tiada keperluan mengemukakan senarai pelantikan yang baharu.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim menjelaskan, perkara itu berdasarkan tafsiran perundangan terhadap Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959, khususnya berkaitan kuasa eksekutif dan kedudukan Exco.
Menurutnya, berdasarkan Perkara 40(1) UUTKNS 1959, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan hendaklah bertindak mengikut nasihat Menteri Besar dan MMKN dalam menjalankan fungsi pentadbiran negeri.
Katanya, kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Besar yang dinyatakan di bawah Perkara 40(2) pula hanya meliputi perkara yang diperuntukkan secara bertulis dan tidak merangkumi kuasa untuk memberhentikan atau menamatkan tempoh jawatan Exco secara bersendirian.
“Secara asasnya, sistem pentadbiran Negeri Sembilan ditegakkan atas prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.
“Berdasarkan Bahagian Kedua UUTKNS 1959, kuasa Kedaulatan Raja dalam hal pentadbiran negeri hendaklah dijalankan atas nasihat Menteri Besar dan MMKN.
“Kuasa Raja untuk memperkenankan tempoh perjawatan seseorang Exco di bawah Perkara 38(5) tidak boleh dibaca secara berasingan, sebaliknya perlu dibaca bersama Perkara 38(4) dan Perkara 40(1),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ismail menegaskan bahawa tindakan memberhentikan atau menamatkan keahlian mana-mana Exco tanpa nasihat atau permintaan Menteri Besar adalah satu kekhilafan daripada sudut perundangan dan tidak mempunyai kuat kuasa undang-undang.
“Menteri Besar tidak pernah dirujuk atau pada bila-bila masa menasihati berkenaan pemberhentian mana-mana Exco Kerajaan Negeri Sembilan menurut Perkara 38(5) UUTKNS.
“Dengan itu, tidak ada keperluan mengemukakan senarai Exco yang baharu kerana Exco yang sedia ada masih sah dan akan menjalankan tugas seperti biasa,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus mempertahankan keluhuran Perlembagaan bagi memastikan kestabilan pentadbiran dan mandat rakyat sentiasa dipelihara berlandaskan lunas undang-undang yang sah.
Terdahulu, media melaporkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir telah membatalkan pelantikan 10 Exco berkenaan yang berkuat kuasa serta-merta.
Menerusi kenyataan dikeluarkan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali lewat malam tadi, keputusan itu dibuat selepas mendapati kesemua exco terbabit telah memungkiri sumpah jawatan mereka. – UTUSAN
The post Exco Negeri Sembilan masih sah jalankan tugas – MB appeared first on Utusan Malaysia.






