Exco sedia ada masih sah – MB Negeri Sembilan

LocalPolitics
21 Sep 2026 • 12:12 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Exco sedia ada masih sah – MB Negeri Sembilan

SEREMBAN — Kerajaan Negeri Sembilan menegaskan tiada keperluan untuk mengemukakan senarai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang baharu kerana barisan pimpinan sedia ada masih sah dan akan terus menjalankan tugas seperti biasa.

Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim berkata, pendirian itu dibuat berdasarkan tafsiran perundangan serta sempadan kuasa eksekutif di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959, khususnya berhubung kedudukan dan tempoh perjawatan Exco.

Beliau berkata, sistem pentadbiran Negeri Sembilan berteraskan prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen, dengan kuasa Kedaulatan Raja dalam hal pentadbiran negeri hendaklah dijalankan atas nasihat Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Menurutnya, berdasarkan Perkara 40(1) UUTKNS 1959, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan hendaklah bertindak mengikut nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Menteri Besar dalam menjalankan fungsi pentadbiran (eksekutif) di bawah Bahagian Kedua Perlembagaan Negeri.

Beliau berkata, kuasa budi bicara Raja dalam hal pentadbiran pula hanya merangkumi perkara-perkara yang dinyatakan secara bertulis di bawah Perkara 40(2) UUTKNS 1959.

“Kuasa untuk memberhentikan atau menamatkan tempoh jawatan EXCO secara bersendirian tidak termaktub dalam institusi budi bicara ini,” katanya dalam kenyataan rasmi.

Ismail berkata, kuasa Raja untuk memperkenankan tempoh perjawatan seseorang EXCO di bawah Perkara 38(5) UUTKNS 1959 tidak boleh dibaca secara berasingan, sebaliknya perlu ditafsirkan bersama Perkara 38(4) dan Perkara 40(1).

Katanya, berdasarkan tafsiran itu, sebarang penamatan atau perubahan kedudukan barisan EXCO ketika pentadbiran sedang berjalan hanya boleh berkuat kuasa atas nasihat atau permintaan rasmi Menteri Besar.

“Dengan itu, mana-mana tindakan memberhentikan atau menamatkan keahlian seseorang EXCO yang dibuat tanpa nasihat atau permintaan daripada Menteri Besar adalah merupakan satu kekhilafan dari sudut perundangan, tidak berperlembagaan dan tidak mempunyai sebarang kuat kuasa undang-undang,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa Menteri Besar tidak pernah dirujuk atau pada bila-bila masa menasihati berhubung pemberhentian mana-mana EXCO Kerajaan Negeri Sembilan menurut Perkara 38(5) UUTKNS 1959. – KOSMO! ONLINE

The post Exco sedia ada masih sah – MB Negeri Sembilan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved