Kedudukan MB Perlis bergantung pendirian enam ADUN Pas – Speaker

LocalPolitics
21 Oct 2026 • 3:41 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kedudukan MB Perlis bergantung pendirian enam ADUN Pas – Speaker
Media melaporkan Abu Bakar digantung keahlian Bersatu selama dua penggal pemilihan berkuat kuasa 13 Oktober lalu.

KANGAR – Kedudukan Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah susulan penggantungan keahlian Bersatu selama dua penggal pemilihan bergantung kepada pendirian enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas di negeri ini.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus'sele Eizan berkata, pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis bagaimanapun berjalan seperti biasa walaupun Abu Bakar berdepan isu berkenaan.

Menurutnya, beliau belum dapat memberikan sebarang maklum balas lanjut berhubung perkembangan itu kerana masih belum menerima pemakluman rasmi daripada mana-mana pihak.

“Pentadbiran berjalan seperti biasa, tetapi saya fikir perkara ini perlu ditanya kepada enam wakil rakyat berkenaan (enam ADUN Pas) mengenai pendirian mereka,” katanya pada Rabu.

Sebelum ini, media melaporkan Abu Bakar digantung keahlian Bersatu selama dua penggal pemilihan berkuat kuasa 13 Oktober lalu.

Penggantungan itu disahkan Pengerusi Bersatu Perlis, Izizam Ibrahim yang memaklumkan surat berhubung tindakan berkenaan telah dikeluarkan sejak minggu lalu dan Menteri Besar itu juga sudah mengetahui perkara terbabit

Jelas Rus'sele, pendirian enam ADUN Pas itu penting bagi menentukan sama ada mereka masih menyokong Abu Bakar atau sebaliknya.

Katanya, Abu Bakar juga masih mempunyai tempoh dua minggu untuk mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan Bersatu berhubung keputusan penggantungan keahliannya.

“Walaupun begitu, beliau ada masa dua minggu untuk merayu. Selepas tempoh itu, mungkin ada keputusan yang akan dibuat.

“Saya tidak tahu lagi, mungkin akan ada keputusan selepas itu,” ujarnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved