Langgar Perlembagaan, Abu Bakar Digantung 2 Penggal Pemilihan

LocalPolitics
21 Oct 2026 • 7:24 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Langgar Perlembagaan, Abu Bakar Digantung 2 Penggal Pemilihan

KANGAR - Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah, digantung keahlian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selama dua penggal pemilihan parti berkuat kuasa 13 Oktober lalu.

Pengerusi Bersatu Perlis, Izizam Ibrahim, mengesahkan perkara itu dan berkata surat pemakluman berhubung keputusan berkenaan dikeluarkan minggu lalu.

Bagaimanapun, Izizam menafikan beliau menyebarkan surat berkenaan yang mula tular di media sosial awal minggu ini.

“Surat itu dikeluarkan minggu lalu, tetapi bukan saya yang menyebarkannya. Menteri Besar juga maklum mengenai penggantungan itu,” katanya seperti dilaporkan.

Beliau berkata, pihaknya kini menunggu keputusan rasmi daripada kepimpinan pusat Bersatu serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS.

Surat bertarikh 14 Oktober itu ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan, dan ditujukan kepada Abu Bakar yang juga Ketua Bahagian Bersatu Kangar.

Menurut surat berkenaan, Lembaga Disiplin parti memutuskan dalam mesyuarat pada 13 Oktober untuk menggantung hak keahlian Abu Bakar selama dua penggal pemilihan parti mengikut Fasal 22.5 Perlembagaan Bersatu.

Keputusan itu dibuat susulan dakwaan pelanggaran Fasal 9.1.4 perlembagaan parti serta Kod Etika dan Tatakelakuan Bersatu.

Sepanjang tempoh penggantungan, Abu Bakar turut digugurkan daripada semua jawatan dalam parti dan dilarang mengeluarkan sebarang kenyataan bagi pihak Bersatu.

Bagaimanapun, beliau boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan parti dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis penggantungan dikeluarkan. - Getaran, 21 Oktober 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved