Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah, digantung keahlian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) selama dua penggal pemilihan berkuat kuasa 13 Oktober lalu.
Surat penggantungan sudah diserahkan
Memetik laporan daripada Harian Metro, perkara itu disahkan Pengerusi BERSATU Perlis, Izizam Ibrahim, yang memaklumkan surat berhubung tindakan berkenaan telah dikeluarkan minggu lalu.
Walau bagaimanapun, Izizam menafikan dirinya terbabit dalam penyebaran surat penggantungan yang tular di media sosial sejak kelmarin.
“Ya betul, surat dikeluarkan minggu lepas lagi, tetapi bukan saya yang tularkan. Menteri Besar juga sudah mengetahui mengenai surat penggantungan itu.
“Buat masa ini, kita sedang menunggu keputusan rasmi daripada kepemimpinan BERSATU Pusat dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Gantung keahlian dalam tempoh 2 penggal pemilihan parti
Surat bertarikh 14 Oktober 2026 itu ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin BERSATU, Datuk Mohd Radzi Manan, yang memaklumkan keputusan penggantungan keahlian Abu Bakar, yang juga Ketua BERSATU Bahagian Kangar.
Menurut surat berkenaan, Lembaga Disiplin parti yang bersidang pada 13 Oktober lalu memutuskan untuk menggantung hak keahlian Abu Bakar di bawah Fasal 22.5 Perlembagaan BERSATU bagi tempoh dua penggal pemilihan parti.

Foto: Berita Harian
Tindakan itu didakwa diambil susulan pelanggaran Fasal 9.1.4 Perlembagaan parti serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.
Susulan keputusan berkenaan, Abu Bakar turut dilucutkan daripada semua jawatan yang dipegang dalam parti dan dilarang mengeluarkan sebarang kenyataan atas nama BERSATU sepanjang tempoh penggantungan.
Bagaimanapun, notis itu turut menyatakan bahawa Abu Bakar masih mempunyai hak untuk mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan parti dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis dikeluarkan bagi membela diri dan mendapatkan pertimbangan lanjut.
Sumber: Harian Metro (Noor Sara Mohamad Hanif)






