Kedutaan Palestin puji usaha Malaysia bebaskan aktivis GSF

7 Oct 2025 • 9:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

KUALA LUMPUR, 7 OKT: Kedutaan Palestin di Malaysia memuji Kerajaan Malaysia atas kejayaan usaha diplomatik yang membawa kepada pembebasan 23 aktivis Flotila Sumud Global (GSF) dari Malaysia yang ditahan rejim Israel.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, kedutaan itu berkata kejayaan berkenaan mencerminkan hasil usaha diplomatik berterusan yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, termasuk rundingan berterusan, penyelarasan strategik dengan rakan antarabangsa dan pendirian tegas mempertahankan hak para aktivis.

“Usaha ini menggambarkan komitmen berterusan Malaysia dalam menentang ketidakadilan dan menjunjung prinsip kemanusiaan di peringkat global,” katanya.

Kedutaan turut menyampaikan penghargaan yang mendalam kepada Kerajaan Malaysia dan para aktivis atas sokongan tidak berbelah bahagi serta usaha gigih mereka dalam misi berkenaan.

Seramai 23 aktivis Malaysia itu dibebaskan oleh rejim Israel selepas ditahan secara tidak sah apabila flotila yang membawa bantuan kemanusiaan dan ubat-ubatan ke Gaza yang dikepung dipintas di perairan antarabangsa pada 2 Okt.

Sementara itu, kedutaan turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) serta agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain atas sokongan berterusan dan solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin.

“Tindakan mereka mencabar sekatan haram yang dikenakan oleh pendudukan Israel, yang jelas melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut,” menurut kenyataan itu.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved