KEGANASAN rumah tangga merupakan isu sosial yang mana ia memberi impak besar terhadap kesejahteraan wanita dan kanak-kanak, mempengaruhi aspek fizikal, psikologi serta sosial.
Sebanyak 4,276 kes keganasan rumah tangga direkodkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tempoh 2021 hingga Oktober tahun lalu.
Golongan wanita merekodkan jumlah mangsa tertinggi sepanjang tempoh berkenaan dengan 3,929 kes, manakala 347 kes lagi adalah mangsa lelaki.
Insiden terbaharu di Sungai Petani yang melibatkan seorang lelaki berusia 43 tahun yang kini diburu polis selepas didakwa memukul seorang wanita sehingga parah dan lebih membimbangkan apabila disahkan individu sama pernah disabitkan kesalahan keganasan rumah tangga pada 2021.
Kes berkenaan menonjolkan corak keganasan berulang yang sering dikaitkan dengan pelaku domestik.
Pada peringkat antarabangsa, kajian oleh Lanchimba C (2023) menunjukkan bahawa keganasan rumah tangga bukan hanya berkait rapat dengan faktor individu, tetapi juga dengan faktor isi rumah seperti mood, kemurungan, kesedaran kesihatan, penglibatan media sosial, kerja rumah, kepadatan, dan gabungan agama dengan kemurungan dan kepadatan berkorelasi positif dengan keganasan dan menunjukkan kecenderungan yang tinggi untuk konflik.
Di negara-negara Barat, program-program intervensi dan sokongan mangsa semakin diterima sebagai pendekatan yang berkesan dalam mengurangkan kes keganasan rumah tangga.
Di negara ini, Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521) ialah undang-undang Malaysia yang dikuatkuasakan pada 1 Jun 1996 untuk melindungi mangsa keganasan dalam isi rumah.
Ia terpakai kepada semua orang, merangkumi pasangan, bekas pasangan, anak, dan ahli keluarga.
Akta ini membolehkan mangsa memohon perintah perlindungan Perintah Perlindungan Interim (IPO) dan Perintah Perlindungan (PO) daripada mahkamah untuk sekatan terhadap pendera.
Akta 521 pindaan pada 2017 itu turut membabitkan Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO) iaitu wanita boleh dilindungi dalam tempoh 24 jam di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Orang ramai, khususnya wanita wajar mengetahui peranan EPO supaya bertindak segera dengan membuat aduan jika menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
Wanita dan masyarakat perlu sedar dan faham akta itu mempunyai tujuan murni bagi membendung jenayah keganasan.
Orang ramai yang mengetahui mengenai insiden berkenaan juga boleh membuat aduan kepada pihak polis menerusi talian 999 atau JKM di talian Nur 15999.
Usaha menangani insiden keganasan rumah tangga perlu dijalankan dengan mempergiatkan kempen kesedaran berkaitan akta berkenaan.






