Keganasan rumah tangga, perceraian terus meningkat

LocalFamily & Parenting
5 Oct 2026 • 5:53 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Keganasan rumah tangga, perceraian terus meningkat

KUALA LUMPUR: Kes keganasan rumah tangga meningkat sekitar 34 peratus dalam tempoh dua tahun, daripada 5,507 kes pada 2023 kepada 7,391 kes pada 2025, ketika jumlah kes perceraian turut mencatat peningkatan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, statistik berkenaan menunjukkan keperluan memperkukuh hubungan kekeluargaan semakin mendesak bagi memastikan konflik rumah tangga tidak memberi kesan berpanjangan kepada keluarga.

Menurutnya, berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, sebanyak 60,457 kes perceraian direkodkan pada 2024, meningkat 4.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia turut menunjukkan peningkatan. Konflik dalam keluarga tidak hanya melibatkan pasangan.

“Malangnya, anak-anak turut merasai kesannya,” katanya ketika merasmikan Forum Kebahagiaan Rumah Tangga “Tenangkan Emosi, Eratkan Kasih” di sini hari ini.

Nancy berkata, kesan konflik keluarga terhadap anak-anak perlu diberi perhatian terutama apabila isu kesihatan mental dalam kalangan remaja turut menunjukkan keadaan membimbangkan.

Katanya, Tinjauan Kesihatan Remaja Kebangsaan 2022 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang melibatkan lebih 33,000 pelajar sekolah menengah mendapati kira-kira satu daripada empat remaja mengalami kemurungan, manakala satu daripada enam berasa kesunyian.

“Lebih membimbangkan, hanya 24.2 peratus remaja merasakan ibu bapa atau penjaga benar-benar memahami masalah dan kebimbangan mereka.

“Angka ini mengingatkan bahawa sesebuah rumah itu perlu menjadi ruang yang selamat untuk seseorang didengar, difahami dan mendapatkan sokongan, kerana setiap penghuni dalam rumah itu mahu disayangi, dihargai dan didengari,” katanya.

Sehubungan itu, Nancy berkata, Kementeriannya melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), menyediakan Badan Pendamai Keluarga bagi membantu pasangan yang berdepan konflik perkahwinan.

Katanya, perkhidmatan itu merangkumi kaunseling keluarga dan tribunal perkahwinan bagi memberi ruang kepada pasangan mendapatkan bimbingan serta menilai pilihan secara lebih tenang dan teratur.

“Sejak mula beroperasi di Ibu Pejabat LPPKN pada Oktober 2024, Badan Pendamai Keluarga LPPKN telah mengendalikan 236 kes pasangan sehingga Ogos 2026.

“Daripada jumlah tersebut, 31 pasangan atau 13.1 peratus berjaya didamaikan, berbanding kadar sekitar dua peratus perdamaian pasangan yang melalui prosiding tribunal sebelum ini,” katanya.

Selain itu, katanya, 24 peratus pasangan memilih untuk meneruskan sesi kaunseling bersama LPPKN sekaligus menunjukkan bahawa apabila pasangan diberikan ruang untuk didengar, dibimbing dan membuat pertimbangan secara rasional, masih ada ruang untuk memperbaiki hubungan. – UTUSAN

The post Keganasan rumah tangga, perceraian terus meningkat appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved