
BANGKOK: Kes individu yang ditemukan meninggal dunia seorang diri di rumah beberapa hari selepas kematian dilaporkan semakin meningkat di utara Bangkok.
Doktor forensik Hospital Bhumibol Adulyadej, Dr Atthasit Dulamnuay, berkata hospital itu sebelum ini merekodkan kira-kira 10 kes sedemikian setahun.
Bagaimanapun, jumlah berkenaan kini meningkat kepada sekitar 70 hingga 80 kes setahun.
Hospital Bhumibol Adulyadej mengendalikan kes forensik dari kawasan utara Bangkok, termasuk Bang Khen, Don Mueang, Sai Mai dan kawasan sekitarnya.
Atthasit berkata, hospital itu kini menerima sekitar lima hingga lapan mayat yang mereput setiap bulan daripada kira-kira 40 hingga 50 mayat yang dihantar untuk bedah siasat.
Kes berkenaan menyumbang lebih 10 peratus daripada keseluruhan beban kerja forensik unit itu setiap bulan.
Jumlah kes turut meningkat ketika cuaca sangat panas, khususnya sekitar April. Menurut Atthasit, terdapat minggu tertentu yang menyaksikan sehingga tiga kes demikian direkodkan.
Beliau berkata, ketika menjalani latihan dalam bidang perubatan forensik di Hospital Siriraj sekitar 2016, beliau hanya menemui kira-kira satu kes mayat yang mereput setiap bulan.
Ketika mula berpindah ke Hospital Bhumibol Adulyadej, jumlah kes juga hampir sama sebelum meningkat secara beransur-ansur.
Menurutnya, individu yang ditemukan dalam keadaan sedemikian berusia antara kira-kira 20 hingga 80 tahun, menunjukkan isu itu bukan hanya membabitkan warga emas.
Dalam kalangan mangsa lebih muda, mereka termasuk golongan bekerja dan buruh yang tinggal bersendirian.
Dalam sesetengah kes, majikan menyedari pekerja tidak hadir bekerja selama dua atau tiga hari sebelum cuba menghubungi mereka. Ada juga kes yang dikesan selepas jiran atau penghuni bilik berdekatan menyedari sesuatu yang luar biasa dan memaklumkan kepada pihak berkuasa.
Bagi golongan warga emas yang ditemui dalam keadaan sama, mereka mungkin masih mempunyai anak atau saudara-mara, namun ahli keluarga berkenaan tinggal atau bekerja di tempat lain dan tidak berhubung setiap hari.
Atthasit berkata, sesetengah keluarga hanya berhubung sekali seminggu atau sebulan. Keadaan itu menyebabkan ahli keluarga hanya menyedari sesuatu tidak kena selepas beberapa hari individu berkenaan meninggal dunia.
Menurutnya, peningkatan kes itu mungkin sebahagiannya berpunca daripada perubahan struktur keluarga di Thailand, apabila semakin kurang keluarga besar tinggal bersama dan lebih ramai individu memilih untuk tinggal sendirian atau berasingan daripada saudara-mara.- AGENSI
The post Bangkok rekod hingga 80 kes mati sendirian setahun appeared first on Utusan Malaysia.






