Program Advokasi Toleransi Sifar Keganasan, Menoktahkan Keganasan Terhadap Wanita

18 Sep 2026 • 10:33 AM MYT
Newswav PR
Newswav PR

Sponsored content from various brands & advertisers

Image from: Program Advokasi Toleransi Sifar Keganasan, Menoktahkan Keganasan Terhadap Wanita
Imej oleh Jabatan Pembangunan Wanita (JPW)

SEMPORNA - Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Dato’ Seri Hajah Nancy Shukri hari ini merasmikan Program Toleransi Sifar Keganasan Semporna anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW).

Menerusi ucapannya, YB Dato’ Sri Hajah Nancy menyatakan bahawa fokus utama program ini ialah isu keganasan terhadap wanita terutamanya gangguan seksual yang merupakan suatu perkara yang perlu ditangani dengan lebih serius.

Kerajaan telah memperkukuh usaha menangani isu gangguan seksual antaranya dengan menggubal Akta Antigangguan Seksual 2022 [Akta 840]. Penguatkuasaan menyeluruh adalah merangkumi penubuhan Tribunal bagi Antigangguan Seksual (TAGS) yang merupakan satu platform alternatif yang mudah, murah dan cepat untuk mangsa menuntut hak mereka.

Sehingga Ogos tahun 2026, sebanyak 129 aduan telah difailkan dan 88 daripadanya berjaya diselesaikan. Ini membuktikan tribunal mampu menjadi saluran berwibawa yang membawa keadilan kepada mangsa.

Untuk rekod, statistik PDRM menunjukkan peningkatan yang membimbangkan di mana pada tahun 2022, sebanyak 477 kes gangguan seksual telah direkodkan. Jumlah ini meningkat kepada 522 kes pada tahun 2023, dan melonjak lagi kepada 788 kes pada tahun 2024 dan kepada 1,083 kes pada tahun lalu. Sehingga Mei tahun ini sebanyak 388 kes gangguan seksual telah dilaporkan dengan jumlah 31 kes daripada Negeri Sabah.

Dalam pada itu, KPWKM melalui JPW turut menggerakkan Kempen Eliminate Violence Against Women (EVAW), yang merupakan kempen sepanjang tahun untuk memastikan agenda menghentikan keganasan terhadap wanita dapat dilaksanakan dengan berkesan dan menyeluruh, seiring dengan aspirasi masyarakat dunia diperingkat antarabangsa.

Kes keganasan rumah tangga mencecah 7,116 pada 2024, dengan 7,391 kes dilaporkan pada tahun lalu dan sebanyak 4,014 kes dilaporkan sehingga Jun tahun ini. Jumlah ini signifikan menjelaskan bahawa isu keselamatan wanita adalah krisis yang memerlukan tindakan kolektif dan bersepadu serta tindakan penyelesaian yang tegas.

Hadir sama Ketua Setiausaha KPWKM, YBhg. Datuk Dr Maziah Binti Che Yusoff, Ketua Pengarah JPW, YBrs. Puan Hanani Binti Sapit, dan Pegawai-pegawai Kanan Jabatan dan Agensi Kementerian.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved