johardy27/07/2026 - 09:00 Pemandu Mercedes, Lewis Hamilton dari Britain, mendahului kelompok pelumba ketika Perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang pada 1 Oktober 2017. — Foto AFP/MANAN VATSYAYANA Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 27 Julai – Kejayaan penganjuran perlumbaan Formula Satu (F1) di Malaysia tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah penonton semata-mata, sebaliknya perlu dinilai menerusi perbelanjaan pelawat serta sejauh mana manfaat ekonominya dinikmati oleh hotel, restoran, inap desa, perusahaan kecil dan komuniti setempat.
Pakar pelancongan dan ekonomi berpandangan F1 berpotensi menjadi pemangkin pertumbuhan jangka panjang sekiranya diposisikan sebagai kempen pelancongan sukan nasional, dan bukan sekadar acara perlumbaan selama tiga hari.
Presiden Persekutuan Pelancongan Malaysia (MTF), Dr. Sri Ganesh Michiel berkata, kejayaan perlumbaan itu tidak sepatutnya dinilai hanya berdasarkan jumlah kehadiran penonton, tetapi sama ada pelawat tinggal lebih lama, berbelanja lebih banyak dan menyumbang kepada manfaat ekonomi yang lebih meluas.
"Matlamatnya mudah, bawa pelawat ke Malaysia untuk menyaksikan F1, tetapi berikan mereka sebab yang mencukupi untuk tinggal lebih lama dan meneroka Malaysia di luar litar perlumbaan," katanya, menurut laporan The Star.
Beliau berkata, pelawat perlu digalakkan mengunjungi bandar dan komuniti berhampiran, bukan sekadar berulang-alik antara lapangan terbang, hotel dan Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Perbelanjaan pelawat penanda aras sebenar
Ganesh berkata, kejayaan penganjuran F1 perlu diukur berdasarkan jumlah perbelanjaan pelawat, tempoh mereka berada di negara ini serta sejauh mana hasil pelancongan disalurkan kepada pengusaha pelancongan berlesen dan komuniti tempatan.
"Jika ketibaan pelancong antarabangsa meningkat tetapi pengusaha pelancongan yang sah dan berlesen tidak menikmati manfaat yang bermakna daripada peningkatan perbelanjaan itu, maka acara tersebut belum boleh dianggap benar-benar berjaya," katanya.
Sementara itu, Profesor Ekonomi, Prof. Dr. Yeah Kim Leng berkata, pengalaman Malaysia sebagai tuan rumah F1 sebelum ini menyediakan asas kukuh untuk menilai daya maju komersial perlumbaan berkenaan serta kedudukan negara dalam rundingan dengan pemegang hak penganjuran.
Menurut beliau, antara petunjuk utama ialah sama ada acara itu mampu menjana pulangan yang mencukupi sambil menyumbang kepada penyelenggaraan dan naik taraf SIC.
"Manfaat sosioekonomi melalui limpahan sektor pelancongan serta peningkatan imej Malaysia di peringkat antarabangsa boleh menjadi justifikasi kepada sokongan kerajaan, namun bukan penglibatan secara langsung," katanya.
Beliau berkata, memandangkan SIC merupakan pelaburan yang telah dibuat sebelum ini, peningkatan penggunaan kemudahan itu mampu memberikan pulangan positif sekiranya F1 diuruskan secara komersial.

Komuniti sekitar perlu turut menikmati manfaat
Presiden Persatuan Pelancongan Inbound Malaysia (MITA), Mint Leong Hoon Min pula berkata, F1 perlu dilihat sebagai inisiatif nasional yang melibatkan sektor pelancongan dan sukan secara menyeluruh.
Beliau berkata, perlumbaan itu perlu dipakejkan bersama penginapan, membeli-belah, tarikan kebudayaan dan pakej pelancongan domestik bagi menggalakkan pelawat melanjutkan tempoh percutian mereka.
Katanya, komuniti di Sepang, Dengkil, Sungai Pelek dan Bagan Lalang juga wajar menikmati limpahan ekonomi hasil penganjuran perlumbaan tersebut.
Beliau berkata, inap desa berdaftar boleh menawarkan pengalaman kehidupan kampung yang autentik, manakala bandar berhampiran boleh menarik pelawat menerusi kampung tradisional Melayu, persembahan kebudayaan, aktiviti memancing, kelas masakan, ladang buah-buahan dan pasar malam.
Leong turut menggesa agar keutamaan diberikan kepada vendor dan pembekal tempatan, disokong dengan latihan serta pembangunan kemahiran bagi mewujudkan ekosistem F1 yang lebih kukuh.
"Peminat bukan hanya mahu menyaksikan perlumbaan. Mereka juga mencari festival, konsert, hiburan dan pengalaman premium. Malaysia perlu mempromosikan dengan lebih berkesan kepelbagaian budaya, pengalaman berkualiti pada nilai yang berpatutan serta keunikan negara ini," katanya.
Perlumbaan Grand Prix Bahrain tahun ini dijadual berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang dari 2 hingga 4 Oktober. - DagangNews.com





