Kejohanan catur dunia perkukuh diplomasi sukan, pelancongan negara

7 Nov 2026 • 11:59 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Kejohanan catur dunia perkukuh diplomasi sukan, pelancongan negara

SHAH ALAM, 7 NOV: Penganjuran Kejohanan Catur Amatur Dunia FIDE 2026 di Klang dari 4 hingga 13 November menjadi platform memperkukuh diplomasi sukan, memperluas jaringan antarabangsa serta merancakkan industri pelancongan sukan negara.

Menurut kenyataan media kejohanan itu, pertandingan anjuran Persatuan Catur Selangor dan Persekutuan Catur Malaysia bawah naungan Persekutuan Catur Antarabangsa (FIDE) menghimpunkan kira-kira 600 pemain tempatan dan antarabangsa dari 55 negara.

“Lebih daripada sekadar pertandingan sukan, penganjuran ini merupakan platform strategik untuk memperkukuh diplomasi sukan, memperluas jaringan antarabangsa dan merancakkan industri pelancongan sukan negara.

“Kehadiran ratusan peserta serta delegasi luar negara membuka ruang memperkenal keunikan budaya, warisan, hospitaliti dan destinasi pelancongan Malaysia kepada komuniti catur antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Daripada jumlah peserta, kira-kira 300 orang merupakan pemain antarabangsa, manakala selebihnya pemain tempatan yang bersaing dalam kategori Terbuka dan Wanita bagi tiga tahap penarafan, iaitu Bawah 1700, Bawah 2000 dan Bawah 2300.

Kenyataan itu memaklumkan penganjuran kejohanan berkenaan turut menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026/2027 dan Tahun Melawat Selangor 2026, sekali gus memperlihatkan keupayaan negara sebagai destinasi pilihan bagi acara sukan bertaraf dunia.

Kejohanan itu turut mendapat sokongan Tourism Selangor, Tourism Malaysia, Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB), Kerajaan Negeri Selangor serta Kementerian Belia dan Sukan.

Majlis perasmian kejohanan pada 5 November disempurnakan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah selaku Penaung Diraja Kejohanan.

Baginda turut berkenan beradu kemahiran bermain catur bersama Grandmaster Nigel Short, tokoh catur antarabangsa, yang melambangkan sokongan institusi diraja terhadap pembangunan sukan minda.

Menurut kenyataan sama, penganjuran kejohanan itu bukan sahaja mengangkat martabat sukan catur negara, malah mencerminkan keyakinan komuniti antarabangsa terhadap kemampuan Malaysia menjadi tuan rumah acara global berprestij.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved