Kejohanan F3000 Pahang Diraja Bakal Janjikan Aksi Lebih Menarik - Penganjur

27 Dec 2024 • 12:22 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

PORT DICKSON - Kejohanan F3000 Pahang Diraja bagi sesi 2025 bakal menjanjikan pengalaman lebih menarik dan mendebarkan, berbanding acara sama di Kuantan, Pahang Ogos lalu. 

Pengarah urusan Platinum Charters, Patrick Theseira berkata, kejohanan Asia Powerboat F3000 setanding dengan bot F3 di litar Malaysia dan ia disahkan secara rasmi oleh Persatuan Bot Kuasa Asia (APC).

Menurut beliau, pihaknya sebelum ini berjaya menganjurkan perlumbaan di pelbagai negeri termasuk Pahang, Johor dan Kelantan.

“Kali ini kami berharap untuk memperluaskan acara tersebut pada skala lebih besar. 

“Musim terbaharu akan bermula pada Mei 2025 nanti di Port Dickson, Melaka, Kuantan, Johor, dan Sarawak,” katanya kepada Getaran. 

Jelas Patrick, kejohanan berkenaan akan berakhir dengan perlumbaan sama ada di Selangor atau Kuala Lumpur pada November tahun depan. 

“Acara ini bukan sahaja mempromosikan sukan air bermotor tetapi turut menyediakan platform untuk penajaan dan pengiklanan di peringkat antarabangsa,” katanya. 

Patrick berkata, kejohanan bot laju memainkan peranan untuk menarik kehadiran pelancong malah ia sejak sekian lama menjadi antara acara utama di Asia Barat khususnya di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Sementara itu, Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon berkata, sukan ini akan menarik lebih ramai pelancong ke pantai peranginan berkenaan dan bakal merancakkan sektor pelancongan negeri.

“Malaysia dikelilingi oleh pantai-pantai yang indah, dan sukan ini pasti akan menarik lebih ramai pelancong ke pantai kita. 

“Perlumbaan bot laju adalah peluang menarik bagi negara kita untuk terlibat dalam sukan yang semakin berkembang dan popular," katanya.

Kejohanan Royal Pahang F3000 Ogos lalu telah dirasmikan oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan permaisuri baginda, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. 

Ia menandakan sokongan baginda terhadap sukan tersebut. - Getaran, 27 Disember 2024