Kejohanan Ragbi COBRA 10s edisi ke-53 lebih istimewa

7 Oct 2026 • 9:44 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Kejohanan Ragbi COBRA 10s edisi ke-53 lebih istimewa

PETALING JAYA – Kejohanan Ragbi COBRA 10s 2026 yang dijadualkan berlangsung di Padang Astaka, Petaling Jaya pada 31 Oktober dan 1 November depan boleh dianggap cukup istimewa.

Ia berikutan edisi ke-53 itu bakal memperkenalkan COBRA 10s Carnival Weekend yang menggabungkan kejohanan utama bersama COBRA 10s Mini dalam sambutan ragbi melibatkan pelbagai generasi.

Sebanyak 12 pasukan lelaki elit dari Malaysia, Papua New Guinea, Australia, United Kingdom, Afrika Selatan dan Singapura bakal berentap pada kejohanan antarabangsa selama dua hari itu.

Selain pasukan lelaki, kejohanan itu turut menampilkan enam pasukan wanita serta tiga pasukan veteran untuk aksi pertunjukan.

Presiden Kelab Ragbi COBRA, Darryll Sinnappa berkata, penganjuran bagi edisi kali ini sangat istimewa kerana menggabungkan saingan senior dan junior yang bertujuan meraikan setiap generasi.

“Ini tahun istimewa buat COBRA. Dengan menganjurkan kejohanan senior dan junior bersama, kami meraikan setiap peringkat dalam sukan ini, daripada kanak-kanak yang baru mengenali ragbi hingga pemain berpengalaman yang beraksi di peringkat antarabangsa.

“Kami mengalu-alukan orang ramai untuk hadir dan bersama-sama menikmati dua hari aksi ragbi serta semangat kesukanan,” katanya.

Pada masa sama, COBRA 10s Mini dijangka menghimpunkan kira-kira 2,000 pemain muda lelaki dan wanita, termasuk pasukan junior dari Singapura dan Sri Lanka.

Sementara itu, Sinnappa turut menjelaskan, pihaknya juga sedang memantau keadaan jerebu yang sedang melanda ketika ini, namun beliau percaya situasi itu bakal berubah sebelum kejohanan berlangsung.

“Memang kami mengambil berat keadaan tersebut. Sekiranya jerebu semakin buruk, kejohanan untuk junior akan dibatalkan, manakala bagi saingan senior, kami akan terus memantau keadaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

The post Kejohanan Ragbi COBRA 10s edisi ke-53 lebih istimewa appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved