
KUALA LUMPUR - Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 Sabah yang menyaksikan PKR hanya menang satu daripada 13 kerusi yang ditandingi parti itu mencerminkan sentimen rakyat terhadap isu tadbir urus, ketelusan, dan kepimpinan lokal.
Pengarah Pilihan Raya Bersama PRN Sabah bagi PKR, Nurul Izzah Anwar dan Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, ia adalah mesej jelas ketidaksepakatan bukan sahaja melemahkan kekuatan politik, bahkan menghakis keyakinan rakyat terhadap keupayaan menawarkan kepimpinan yang stabil dan bertanggungjawab.
Berikutan itu, Nurul Izzah yang merupakan Timbalan Presiden PKR mengambil tanggungjawab sepenuhnya secara kolektif sebagai sebuah pasukan atas keputusan PRN Sabah.
“Bersama Datuk Seri Saifuddin Nasution selaku Pengarah Pilihan Raya Bersama, kami sedar perjalanan panjang sebuah perjuangan bukan terletak pada kemenangan semata-mata, tetapi pada kesediaan untuk menginsafi kelemahan, memperbaikinya, dan bangkit semula dengan lebih baik.
"Keadilan menghormati dan menerima dengan rendah diri keputusan rakyat dalam PRU Dewan Undangan kali ini.
“Suara rakyat adalah isyarat yang kami terima dengan hati terbuka - sebagai peringatan dan pengajaran yang sentiasa membawa hikmah buat mereka yang ikhlas berjuang,’’ kata Nurul Izzah dan Saifuddin, yang juga Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) menerusi kenyataan bersama hari ini.
Pada PRN Sabah semalam, PKR hanya menang satu daripada 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala rakan gabungan dalam PH iaitu DAP gagal meraih sebarang kerusi daripada semua lapan kawasan yang ditandingi parti itu.
Sementara Amanah pula gagal memenangi satu-satunya kerusi yang ditandingi iaitu kerusi DUN Sulabayan.
Dalam pada itu, kenyataan bersama itu juga berkata, PKR diberikan ruang bertanding di 12 kerusi iaitu satu peningkatan suatu peningkatan yang menzahirkan bahawa benih keyakinan terhadap parti itu sedang mula bercambah di bumi Sabah.
“Sokongan jentera dan anggota juga semakin mengukuh, ia mungkin bukan kemenangan pada angka, tetapi ia adalah kemenangan pada tekad dan kesungguhan.
“Keadilan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua jentera parti dan akar umbi yang telah mengorbankan masa, sumber dan tenaga tanpa lelah sepanjang kempen ini,’’ katanya yang menyifatkan pengorbanan itu besar maknanya kepada perjuangan parti. - 30 November, 2025
The post Kekalahan PKR isyarat sentimen rakyat terhadap isu tadbir urus, ketelusan appeared first on Scoop.

