Kekalkan RON95 RM1.99 walaupun harga minyak dunia meningkat - PM

LocalPolitics
15 Mar 2026 • 2:01 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anwar (tiga dari kiri) menyempurnakan simbolik perasmian Hari Pengguna Kebangsaan (HPK) 2026 di Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Kerajaan mengekalkan harga subsidi petrol RON95 pada RM1.99 seliter walaupun nilai minyak mentah dunia meningkat susulan konflik geopolitik di Timur Tengah sedang berlaku.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan harga minyak dunia memberi kesan besar kepada kos pengangkutan dan barangan, namun kerajaan tetap mengambil langkah mengekalkan kadar bahan api itu bagi mengurangkan beban rakyat.

"Dulu harga minyak satu tong AS$70, sekarang AS$103. Itu pun masih meningkat. Maknanya bila minyak naik, pengangkutan naik, insurans naik, harga barang naik. Bila kos pengangkutan naik, harga bawang dari India pun naik sebab ia datang dengan kapal yang guna minyak.

"Cuma alhamdulillah berita baik bagi rakyat Malaysia dan Sabah hari ini, walaupun harga minyak dari AS$70 naik AS$103 satu tong, harga jualan RON95 kekal RM1.99," katanya ketika berucap pada sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2026 di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Anwar turut menegaskan, Malaysia mengambil pendirian menentang sebarang serangan terhadap negara berdaulat termasuk konflik yang melibatkan Iran.

Beliau berkata, sebagai negara merdeka, Malaysia perlu mempertahankan prinsip kedaulatan dan tidak mencampuri urusan dalaman negara lain.

"Kita juga tahu sekarang ini ada perang di negara Teluk dan Iran. Apa punca Iran diserang oleh Israel dan Amerika Syarikat. Kita sebagai rakyat negara merdeka bantah. Kita tak setuju negara mana pun diserang dan ditakluki.

"Mana-mana negara walaupun kita tidak setuju dengan sistem itu sama ada komunis, demokrasi, diktator, itu urusan negara masing-masing. Kita boleh beri pendapat tapi tak boleh campur, apalagi guna tentera," katanya.

Beliau berkata, konflik tersebut turut memberi implikasi besar kepada perdagangan global, termasuk penutupan Selat Hormuz yang merupakan laluan utama kapal minyak dan gas.

"Bila perang, Selat Hormuz ditutup. Lebih 400 kapal minyak dan gas yang bawa keperluan asas tertahan, termasuk kapal yang bawa anak kapal Malaysia dan barang-barang Malaysia.

"Jadi barang tak sampai, minyak dan gas tersangkut. Insurans meningkat. Kalau mereka langgar, bahaya, dibom. Jadi kos barang akan meningkat," katanya.

Dalam pada itu, Anwar turut menjelaskan, kerajaan menanggung perbelanjaan subsidi besar bagi memastikan harga diesel di Sabah dan Sarawak kekal rendah berbanding kos sebenar.

Menurutnya, penggunaan diesel di kedua-dua negeri itu lebih tinggi berbanding di Semenanjung, justeru kerajaan memutuskan untuk tidak menaikkan harga diesel di wilayah tersebut.

"Tahun lalu, subsidi untuk minyak diesel di Sabah dan Sarawak ialah RM2 bilion, iaitu RM1 bilion untuk Sabah dan RM1 bilion untuk Sarawak.

"Sekarang selepas perang dan harga melonjak lagi, harga diesel Sabah dan Sarawak tidak naik. Untuk tahun 2026 setakat ini, kerajaan Persekutuan perlu bayar subsidi sebanyak RM4.6 bilion untuk Sabah dan Sarawak," katanya.

Beliau berkata, kos sebenar diesel ketika ini mencecah sekitar RM4.30 seliter, namun rakyat hanya membayar RM2.15 seliter kerana baki kos tersebut ditanggung oleh kerajaan.

"Berapa harga pam diesel? RM2.15. Berapa kos sebenar? RM4.30, dua kali ganda. Setiap kali beli minyak RM2.15 ingat, kos sebenar RM4.30. Siapa yang bayar lebih? Kerajaan Persekutuan bayar lebih," katanya.

Menurut beliau, langkah itu diambil sebagai tanggungjawab kerajaan untuk meringankan beban rakyat walaupun berdepan peningkatan kos akibat ketidaktentuan ekonomi global.