KUALA LUMPUR - Gagasan Rumah Bangsa yang diperkenalkan UMNO bukan sekadar membuka ruang kepada bekas ahli untuk kembali ke pangkuan parti, tetapi juga dirangka sebagai platform besar untuk memusatkan kekuatan politik Melayu secara holistik.
Pengerusi Jawatankuasa Rumah Bangsa, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, konsep itu membawa dimensi lebih luas apabila menjadikan UMNO bukan hanya parti politik, tetapi juga wadah utama yang menghimpunkan idea, kepakaran dan aspirasi bangsa Melayu.
Menurut Naib Presiden UMNO itu, Rumah Bangsa berperanan sebagai medan terbuka buat orang Melayu, tanpa mengira keahlian untuk menyumbang kepada pembangunan dan masa depan ummah.
“Rumah Bangsa adalah idea yang menonjolkan UMNO itu lebih besar daripada hanya sebuah parti politik.
"Ia boleh menjadikan UMNO sebagai wadah yang memusatkan politik Melayu serta menjadi nadi dan pemacu utama,” katanya ketika berucap pada Konvensyen 80 Tahun UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini pada Sabtu.
Mohamed Khaled yang juga Menteri Pertahanan menjelaskan, gagasan tersebut juga bertujuan menyatukan suara Melayu dalam satu platform yang lebih tersusun.
Katanya, ia bagi memastikan kepentingan politik, ekonomi dan sosial dapat diperjuangkan secara lebih berkesan.
Beliau berkata, tanpa kesatuan dan pemusatan politik yang jelas, kepentingan bangsa berisiko terhakis secara berperingkat.
“Tidak mungkin kepentingan politik bangsa dapat diketengahkan tanpa kekuatan politik, tambahan pula jika tiada kesatuan suara dan iltizam,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa kritikan di media sosial semata-mata tidak cukup untuk membina kekuatan bangsa tanpa disokong gerakan politik yang tersusun dan berautoriti.
Atas dasar itu, Mohamed Khaled menyarankan UMNO tampil dengan imej lebih segar, sederhana dan inklusif selaras konsep Rumah Bangsa yang merentas ideologi serta latar belakang.
“Parti mesti tampilkan imej baharu yang lebih segar, kontemporari dan muda. Rumah Bangsa milik semua tanpa syarat selagi tidak menyalahi prinsip perjuangan parti,” katanya lagi.
Beliau berpandangan, pendekatan itu turut menjadi strategi yang membezakan UMNO dengan gabungan politik lain kerana ia bukan sekadar kerjasama politik, sebaliknya satu usaha membina institusi induk bagi kaum Melayu.
Bagaimanapun, jelas Mohamed Khaled, UMNO juga perlu mengiktiraf kepelbagaian idea dan kepakaran di luar parti.
“UMNO mesti menerima hakikat bahawa banyak idea unggul berada di luar lingkungan parti dan semua ini perlu dipusatkan di bawah satu penggerak utama,” tegas beliau.





