Kekurangan tenaga kerja semakin kritikal, FMM gesa kerajaan wujudkan platform khas urus permohonan

LocalBusiness & Finance
22 Aug 2025 • 2:19 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kekurangan tenaga kerja semakin kritikal, FMM gesa kerajaan wujudkan platform khas urus permohonan

image is not available

22/08/2025 - 14:19

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 22 Ogos – Pembukaan semula permohonan kuota pekerja asing secara terhad sehingga 31 Disember ini masih tidak memadai untuk menangani kekurangan tenaga kerja kritikal yang sedang melanda hampir semua sektor industri, kata Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM).

Presiden FMM, Tan Sri Soh Thian Lai berkata, sektor perabot, produk getah, pemprosesan makanan serta perkhidmatan sokongan elektrik dan elektronik (E&E) kini berdepan keperluan mendesak terhadap tenaga kerja.

“Banyak syarikat berdepan masalah apabila pekerja pulang terus ke negara asal selepas tamat kontrak.

“Masalah itu diburukkan lagi dengan kesukaran mencari pekerja baharu kerana pengambilannya dibekukan dalam tempoh yang panjang.

“Lebih membimbangkan kerana permintaan domestik dan eksport yang kukuh menyebabkan banyak syarikat terdesak dan mahu masalah ini diselesaikan segera,” katanya dalam satu kenyataan.

Baru-baru ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberitahu, permohonan kuota pengambilan pekerja asing dibuka semula bagi sektor pertanian, perladangan dan perlombongan sehingga hujung tahun, manakala 10 subsektor lain hanya dipertimbangkan secara kes demi kes.

Bagi sektor pembuatan, pembukaan semula itu terhad kepada pelaburan baharu di bawah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Mengulas lanjut, Thian Lai berkata, berdasarkan maklum balas ahli FMM menunjukkan kekurangan tenaga kerja memberi tekanan yang sangat besar kepada pertumbuhan perniagaan serta kelangsungan operasi jangka panjang di Malaysia.

“Meskipun terdapat 10 subsektor dibenarkan, proses kelulusan secara kes demi kes akan mengambil masa yang lama dan tidak menentu.

“Justeru, FMM menggesa supaya proses kelulusan dibuat lebih telus, cekap dan boleh dijangka,” ujarnya.

Tambahnya, FMM juga berharap kerajaan memanfaatkan teknologi dengan mewujudkan platform digital berpusat yang telus dan boleh diakses terus oleh majikan bagi mengurus permohonan pekerja asing.

“Langkah ini bukan sahaja mempercepatkan proses kelulusan, malah dapat menghapuskan kebergantungan kepada ejen yang selama ini menjadi punca penyalahgunaan serta tuntutan berlebihan,” katanya. - DagangNews.com

standard