Kelantan bentang projek pembangunan dengan Perdana Menteri

LocalPolitics
16 Apr 2026 • 5:05 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kelantan bentang projek pembangunan dengan Perdana Menteri
Mohd Nassuruddin (tengah) menyampaikan Anugerah Khas Syahadah 30 Juzuk kepada Ahmad Fikri Abdul Hisham (dua dari kanan) sambil ditemani ibu bapa pelajar. FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID

KOTA BHARU – Projek-projek pembangunan yang memerlukan tindakan segera seperti tebatan banjir akan dibentangkan Kerajaan Kelantan dalam pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada lawatan kerja pemimpin utama itu ke Kelantan dijangka Sabtu ini.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, pertemuan berkenaan akan menjadi platform perbincangan projek keutamaan melibatkan pelbagai sektor termasuk infrastruktur pengangkutan, bekalan air, pengurusan banjir serta pembangunan berimpak tinggi yang sedang dalam pelaksanaan berfasa di negeri ini.

“Perdana Menteri dijadualkan hadir merasmikan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra sebelum meneruskan lawatan kerja ke Pasir Puteh bagi menghadiri mesyuarat tindakan bersama kerajaan negeri.

“Mesyuarat itu nanti akan dibentangkan beberapa perkara berbangkit termasuk pelaksanaan projek pembangunan yang perlu disegerakan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Graduasi Tahfiz Yayasan Islam Kelantan (YIK) ke-16 2025 di Tunjong di sini pada Khamis.

Antara projek yang sering dikaitkan dengan keperluan penyelarasan dan percepatan pelaksanaan di Kelantan juga termasuk sambungan pembangunan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di jajaran negeri ini, projek Lebuh Raya Kota Bharu–Kuala Krai serta beberapa projek naik taraf infrastruktur pengurusan banjir.

Selain itu, kata Mohd Nassuruddin, pembangunan semula Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) termasuk pemanjangan landasan turut dilihat membuka ruang kepada fasa seterusnya khususnya melibatkan operasi penerbangan antarabangsa dan potensi penerbangan haji pada masa akan datang.

“Naik taraf LTSIP dan projek-projek berimpak tinggi lain mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi Kelantan khususnya melalui limpahan aktiviti perdagangan dan pelancongan rentas sempadan melibatkan selatan Thailand.

Dalam pada itu, berkait perkembangan majlis berkenaan, seramai 432 pelajar YIK menerima sijil tamat hafazan 30 juzuk al-Quran.

“Sehingga kini, seramai 5,720 hafiz dilahirkan melalui institusi pendidikan negeri dan perkembangan ini satu pencapaian yang amat besar dan bermakna.

Dalam masa yang sama, matlamat Satu Rumah Satu Hafiz al-Quran yang pernah digagaskan oleh kerajaan negeri kini berada pada landasan yang tepat ke arah membentuk Kelantan sebagai sebuah negeri yang sejahtera berteraskan Islam,” katanya.