
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan Syariah (Kelantan) 2026 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), Selasa depan bagi memperkukuh perundangan syariah di negeri ini dalam menjaga kemaslahatan umat Islam.
Pembentangan RUU berkenaan bagi menggantikan 16 Seksyen Enakmen Kanun Jenayah Syariah (EKJS) (I) Kelantan 2019 yang dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan tahun lalu.
Timbalan Menteri Besar Datuk Mohamed Fadzli Hassan berkata, RUU berkenaan mengandungi sembilan bahagian, 62 Seksyen dan satu jadual itu digubal berasaskan prinsip pith and substance dengan penekanan diberikan kepada kewajipan agama yang diperintahkan syarak sebagai intipati setiap kesalahan syariah di negeri ini.
Beliau berkata, susunan kesalahan dibuat mengikut kerangka Maqasid Syariah iaitu penjagaan agama, nyawa, akal, harta dan keturunan.
Katanya, susulan keputusan Mahkamah Persekutuan, Kerajaan Kelantan sejak pertengahan 2024 telah menubuhkan Jawatankuasa Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah bagi meneliti dan menggubal semula bukan sahaja 16 peruntukan yang dibatalkan, malah membuat kajian menyeluruh terhadap EKJS (I) 2019.
“Jawatankuasa tersebut dianggotai pakar perundangan sivil dan syariah, ahli akademik, pakar Perlembagaan serta pegawai Kehakiman Syariah yang mewakili pihak berkepentingan bagi meneliti keseluruhan alasan penghakiman Mahkamah Persekutuan sebelum penggubalan dilaksanakan,” katanya dalam sidanng akhbar selepas Mesyuarat Minggu Exco di sini, hari ini.
Mohamed Fadzli memberitahu, proses kajian, penelitian dan penyediaan draf RUU itu turut melalui pelbagai peringkat termasuk pembentangan di hadapan Jemaah Ulama Kelantan di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang bertanggungjawab menentukan persoalan fatwa dan hukum syarak.
Katanya, kerajaan negeri berijtihad untuk melaksanakan syariah dalam ruang lingkup yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
“RUU itu turut memperkenalkan beberapa peruntukan dan ciri pembaharuan, namun butiran penuh hanya akan diperincikan ketika pembentangan di DUN.
“Kandungan RUU itu secara keseluruhannya melibatkan kesalahan-kesalahan jenayah syariah yang berada dalam bidang kuasa Kerajaan Negeri menerusi hukuman takzir.
“Kita dah ada Enakmen Kanun Jenayah Syariah qisas dan hudud, tetapi tidak dapat dilaksanakan. Yang ini takzir. Selain itu, kita tambah lagi beberapa perkara baharu yang kita rasakan sesuai untuk diadakan pada masa sekarang,” katanya.
Pada Mac tahun lalu, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 sebagai terbatal dan tidak sah selepas memutuskan Dewan Undangan Negeri Kelantan telah menggubal peruntukan yang berada di luar bidang kuasa perundangannya.
Keputusan itu dibuat panel lapan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, selepas membenarkan petisyen yang difailkan peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.
Dalam penghakiman panel tersebut, Tengku Maimun berkata, petisyen berkenaan dibenarkan kerana Dewan Undangan Negeri telah menggubal undang-undang bagi perkara yang tidak mempunyai kuasa untuk digubal mengikut Perlembagaan Persekutuan.-UTUSAN
The post Kelantan bentang RUU baharu ganti 16 Seksyen Enakmen Kanun Jenayah Syariah 2019 appeared first on Utusan Malaysia.






