
SHAH ALAM: Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Mahkamah Syariah (Selangor) 2026 tidak seharusnya tertumpu kepada penambahan bidang kuasa, hakim atau struktur pentadbiran.
Sebaliknya, ia perlu meliputi pelaksanaan penghakiman, mekanisme membetulkan kesilapan dan kecekapan keseluruhan sistem kehakiman.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Nurul Syazwani Noh (Permatang-PN) berkata, ia perlu digubal dengan meletakkan bailif yang profesional dan berakauntabiliti, bidang kuasa penyemakan jelas dan prosiding keluarga bersepadu sebagai tiga tonggak utama dalam reformasi Mahkamah Syariah.
“Pada hemat saya, RUU itu sebenarnya mempunyai banyak persamaan dari sudut struktur dengan Courts of Judicature Act 1964, iaitu undang-undang utama yang menjadi asas kepada sistem kehakiman sivil di Malaysia.
“Saya melihat pendekatan yang sama cuba diterapkan. Kerajaan bukan sekadar mahu menambah bidang kuasa Mahkamah Syariah, malah sedang membentuk satu struktur kehakiman yang lebih menyeluruh, perwujudan bidang kuasa penyemakan, pengukuhan pelaksanaan penghakiman serta beberapa mekanisme pentadbiran yang baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan RUU Enakmen Mahkamah Syariah (Selangor) 2026 pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 di sini, hari ini.
Terdahulu akhbar ini melaporkan, RUU Enakmen Mahkamah Syariah Selangor digubal bagi mengasingkan fungsi kehakiman Syariah di negeri ini dari pentadbiran di bawah Bahagian IV Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Selangor) 2003.
Penggubalan tersebut dijangka memperkukuhkan institusi kehakiman Syariah selaras dengan perkembangan sistem perundangan bagi memastikan Mahkamah Syariah terus berfungsi sebagai sebuah institusi kehakiman yang bebas, berwibawa dan diyakini.
Jelas Nurul Syazwani yang juga seorang pengamal undang-undang, penggubalan RUU berkenaan juga perlu dibina untuk bertahan menghadapi cabaran perundangan pada masa hadapan.
“Pertama, mengenai institusi Bailif Mahkamah Syariah. Persoalannya, apakah yang dimaksudkan dengan ‘kekerasan yang munasabah’? Apakah terdapat garis panduan yang seragam supaya kuasa tersebut digunakan secara profesional dan tidak menimbulkan pertikaian?
“Saya juga mencadangkan supaya Selangor mempertimbangkan penubuhan Unit Bailif Syariah yang khusus dan profesional. Selangor merupakan negeri yang mencatatkan antara jumlah kes Syariah tertinggi di negara ini,” jelasnya. – UTUSAN
The post DUN Selangor: RUU Enakmen Mahkamah Syariah perlu mampu hadapi cabaran perundangan appeared first on Utusan Malaysia.






