DUN: Selangor gubal RUU asingkan kuasa Mahkamah Syariah

LocalPolitics
4 Aug 2026 • 3:42 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

RUU Mahkamah Syariah

SHAH ALAM: Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Mahkamah Syariah Selangor digubal bagi mengasingkan fungsi kehakiman Syariah di negeri ini dari pentadbiran di bawah Bahagian IV Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

Penggubalan tersebut dijangka memperkukuhkan institusi kehakiman Syariah selaras dengan perkembangan sistem perundangan bagi memastikan Mahkamah Syariah terus berfungsi sebagai sebuah institusi kehakiman yang bebas, berwibawa dan diyakini.

Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, sudah tiba masanya suatu enakmen yang khusus diwujudkan bagi mengasingkan secara jelas fungsi kehakiman daripada fungsi pentadbiran agama Islam.

Menurutnya, pendekatan itu bukan sahaja selaras dengan prinsip pengasingan kuasa, malah memperkukuhkan kedudukan Mahkamah Syariah sebagai sebuah badan kehakiman yang mempunyai identiti, fungsi dan bidang kuasa tersendiri.

“Berdasarkan penggubalan enakmen itu, keseluruhan Bahagian IV Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, iaitu Seksyen 55 hingga 77, dicadangkan dimansuhkan dan diperuntukkan semula di bawah Enakmen Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2026.

“RUU itu bukan sekadar melibatkan pemindahan atau penyusunan semula peruntukan undang-undang sedia ada. Sebaliknya, suatu reformasi institusi yang penting dalam usaha membina sistem kehakiman Syariah yang lebih jelas kedudukannya, tersusun kerangkanya, kukuh tadbir urusnya dan berupaya memenuhi tuntutan pentadbiran keadilan pada masa kini serta pada masa hadapan,” katanya ketika membentangkannya pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 di sini, hari ini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan Selangor memperkukuh kedudukan agama Islam dengan menetapkan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) sebagai pegangan dan fahaman yang menjadi asas rujukan dan pentadbiran hal ehwal Islam di negeri ini.

Ia melibatkan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor (UUTKS) (Pindaan) 2026 berkaitan Peruntukan Agama Negeri dan Penubuhan Mahkamah Syariah.

Dalam pada itu, Mohammad Fahmi memberitahu RUU tersebut juga bertujuan memperkukuhkan struktur institusi kehakiman Syariah melalui penubuhan Mahkamah Utama Syariah sebagai mahkamah tertinggi dalam hierarki Mahkamah Syariah Negeri Selangor.

“Keperluan untuk memperkukuhkan struktur turut disokong oleh perkembangan semasa pengendalian kes di Selangor. Bagi tempoh tahun 2022 hingga Jun 2026, sebanyak 134,458 kes didaftarkan di semua peringkat Mahkamah Syariah Negeri Selangor.

“Daripada jumlah tersebut, 116,141 kes didaftarkan di Mahkamah Rendah Syariah, 17,635 kes di Mahkamah Tinggi Syariah dan 682 kes di Mahkamah Rayuan Syariah,” jelasnya.

Katanya lagi, dalam jangka panjang, perkembangan itu akan meningkatkan kepastian undang-undang, mengurangkan percanggahan dalam keputusan mahkamah serta menyediakan panduan yang lebih jelas kepada hakim Syarie, pengamal undang-undang dan semua pihak yang terlibat dalam pentadbiran keadilan Syariah. – UTUSAN

The post DUN: Selangor gubal RUU asingkan kuasa Mahkamah Syariah appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved