Kelantan cadang bina litar khas kekang ‘mat rempit’

8 Apr 2026 • 3:47 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Zamakhshari Muhamad

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan bercadang membina litar khas 'motocross' sebagai langkah proaktif bagi mengekang aktiviti lumba haram dan gejala ‘mat rempit’ dalam kalangan anak muda di negeri ini.

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Kelantan, Zamakhshari Muhamad berkata, kerajaan negeri telah mewartakan tanah di Mukim Sokor, Tanah Merah sebagai tapak sukan berkenaan bagi menyediakan ruang khusus kepada peminat sukan permotoran.

"Penyediaan kemudahan tersebut merupakan antara pendekatan bersepadu dalam menangani isu berkenaan secara lebih menyeluruh dan berkesan.

"Inisiatif ini bertujuan menyalurkan minat anak muda ke arah aktiviti yang lebih selamat dan terkawal, sekali gus mengurangkan kecenderungan mereka terlibat dalam perlumbaan haram di jalan raya," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco di sini pada Rabu.

Selain itu menurut beliau, pelbagai program pembangunan belia turut diperluaskan termasuk melalui Kelantan Future Leader Institute, Anak Muda Rakan Al-Quran serta Urusetia Belia dan Sukan (U-BES).

Ujarnya, pendekatan bersepadu melibatkan penguatkuasaan, pembangunan sahsiah dan penyediaan kemudahan riadah diyakini mampu menangani isu tersebut secara lebih berkesan dalam jangka panjang.

Zamakhshari memberitahu, kerajaan negeri tidak hanya bergantung kepada tindakan penguatkuasaan semata-mata, sebaliknya turut memberi fokus kepada pembangunan belia serta penyediaan alternatif aktiviti sihat.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan kerajaan Kelantan memandang serius isu penularan aktiviti ‘mat rempit’ di balai perlepasan di terminal baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa di sini yang tular di media sosial, dengan memberi jaminan tindakan tegas akan diambil terhadap pihak terlibat.

Menurut Zamakhshari sebarang perlakuan yang membahayakan keselamatan perlu ditangani melalui penguatkuasaan berterusan oleh pihak berkuasa tanpa sebarang kompromi.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bagi mempergiat operasi di kawasan berisiko termasuk LTSIP.

"Pemantauan berkala juga akan dilaksanakan bagi memastikan keselamatan awam sentiasa terjamin, khususnya di lokasi yang dikenal pasti menjadi tumpuan aktiviti tidak sihat ini," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.