KOTA BHARU - Kelantan akan meletakkan tong air secara kekal di kawasan yang berdepan gangguan menjelang sambutan Aidiladha ini.
Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Dr Izani Husin berkata, langkah itu dibuat susulan masih terdapat kawasan yang belum menerima bekalan air mencukupi selain kehilangan air tidak berhasil (NRW) yang masih tinggi.
Menurut beliau, kerajaan negeri melalui Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) juga bersedia menggerakkan lori tangki air ke kawasan terjejas sekiranya berlaku gangguan sepanjang musim perayaan.
"Kita tahu ada kawasan tertentu masih tidak cukup air dan kita cuba sebaik mungkin untuk diagihkan kepada pengguna.
"Bagi kawasan yang langsung tiada akses air, kita akan terus bergantung kepada lori air selain meletakkan tong-tong air di kampung dalam kuantiti lebih banyak berbanding sebelum ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim di sini pada Rabu.
Dr Izani memberitahu, tong air yang secara kekal itu memudahkan pengguna mendapatkan bekalan air.
Justeru katanya, orang ramai diminta menghubungi pihaknya untuk kerja-kerja pengisian semula air jika bekalan di berkurangtan.
Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, isu bekalan air di Kampung Apam, Pasir Mas yang terputus sebelum ini berjaya diselesaikan selepas penyerahan telaga tiub oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Katanya, penambahbaikan bekalan air di Kelantan dijangka dapat diselesaikan sepenuhnya menjelang tahun 2030 apabila semua projek tangki air utama siap.
"Kesemua tangki kita dijangka siap sekitar 2028 hingga 2030. Sebab itu saya letakkan sasaran 2030 sebagai tempoh bekalan air bersih di Kelantan mencukupi sepenuhnya.
"Ketika itu kita mampu menghasilkan sebanyak 880 juta liter air sehari, melebihi keperluan semasa rakyat," katanya.
Bagaimanapun beliau mengakui, buat masa ini kapasiti pengeluaran air di negeri itu masih belum mencukupi selain dibebani isu NRW yang menyebabkan gangguan bekalan terus berlaku di beberapa kawasan.
Mengulas isu penukaran paip lama, Dr Izani berkata, Kelantan hanya menerima kelulusan menggantikan kira-kira 150 kilometer paip setahun daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).
Menurut beliau, walaupun lebih 3,000 kilometer paip lama masih perlu diganti bagi mengatasi NRW, kuasa meluluskan projek itu bukan berada di bawah kerajaan negeri atau AKSB.
"Kita mohon setiap tahun supaya lebih banyak paip dapat ditukar, tetapi keputusan akhir berada di pihak SPAN dan Suruhanjaya Air," katanya.




