Kelantan miliki lebih 778,000 hektar hutan, ketiga terbesar di Semenanjung Malaysia

LocalEnvironment
11 Aug 2026 • 11:27 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kelantan miliki lebih 778,000 hektar hutan, ketiga terbesar di Semenanjung Malaysia
Kelantan komited mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus keluasan kawasan hutan selari Dasar Perhutanan Semenanjung Malaysia. Gambar hiasan

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan menegaskan komitmennya mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus keluasan negeri sebagai kawasan berhutan, dengan 778,708.34 hektar atau 51.79 peratus ketika ini masih diliputi hutan.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, kedudukan itu membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan kelestarian sumber hutan terus dipelihara selari dengan Dasar Perhutanan Semenanjung Malaysia.

Menurut beliau, Kelantan juga merupakan negeri yang mempunyai liputan kawasan berhutan ketiga terbesar di Semenanjung Malaysia, sekali gus memainkan peranan penting dalam menyokong usaha negara mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) menerusi Dasar Net Zero Carbon.

"Ini menunjukkan kerajaan negeri komited untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus keluasan kawasan berhutan selari dengan Dasar Perhutanan Semenanjung Malaysia.

"Kawasan hutan perlu dikekal, diurus dan ditingkatkan secara terancang sejajar dengan komitmen negara untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara sebagai hutan dan liputan pokok bagi mengekalkan kehijauan bumi serta kestabilan alam sekitar," katanya.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Kali Kedua Bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke -15 di Kompleks Kota Darulnaim di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN),Zuraidin Abdullah (Pas-Chetok).

Mengulas langkah bagi memastikan kawasan berhutan dikekalkan serta ditingkatkan, Mohd Nassuruddin memberitahu, kerajaan negeri menerusi Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan sedang melaksanakan beberapa strategi termasuk mengenal pasti tanah kerajaan yang berpotensi untuk diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK).

Ujarnya, selain itu, pewartaan hutan perlindungan mengikut kelas fungsi hutan dilaksanakan mengikut Seksyen 10(1) di bawah Enakmen Perhutanan Negara (Pemakaian) Pindaan Nombor 3 2025.

Tambah beliau, kerajaan negeri juga melaksanakan program pemulihan hutan terosot dan penanaman semula pokok menerusi Kempen Penghijauan Malaysia serta operasi hutan bagi membanteras aktiviti teroka haram.

Dalam pada itu, Mohd Nassuruddin berkata, kerajaan negeri mengambil pendekatan seimbang bagi memastikan pemeliharaan HSK tidak mengekang keperluan pembangunan ekonomi negeri.

Kata beliau, prinsip pembangunan mampan menjadi asas dalam memastikan keperluan semasa dapat dipenuhi tanpa menjejaskan keupayaan generasi akan datang.

"HSK terus diurus secara mampan melalui pelaksanaan Rancangan Pengurusan Hutan (RPH) serta mengikut kriteria dan petunjuk pengurusan hutan secara berkekalan.

"Aktiviti pembalakan pula dilakukan secara terkawal berasaskan kaedah Reduced Impact Logging (RIL) bagi meminimumkan kerosakan kepada ekosistem hutan," katanya.

Menurut beliau lagi, kerajaan negeri turut mempelbagaikan sumber ekonomi berasaskan hutan seperti ekopelancongan dan hasil hutan bukan kayu yang mampu memberikan pulangan ekonomi tanpa menjejaskan kelestarian hutan.

"Program pemeliharaan, pemulihan dan penanaman semula hutan juga dilaksanakan secara berterusan melalui pelbagai inisiatif seperti Kempen Penghijauan Malaysia dan program penanaman pokok di kawasan terosot, pesisir pantai serta kawasan komuniti.

"Pelaksanaan program ini melibatkan agensi kerajaan, swasta dan masyarakat setempat bagi mengekalkan liputan hutan negeri," katanya.

Ujar beliau, pendekatan itu membolehkan kerajaan negeri mengekalkan keseimbangan antara pemeliharaan sumber asli dengan pembangunan ekonomi demi kesejahteraan rakyat dan alam sekitar.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved