
LIPIS – Kerajaan negeri komited memastikan kawasan hutan simpan terus dipelihara dengan mengekalkan 57.07 peratus daripada keseluruhan keluasan kira-kira 3.6 juta hektar hutan negeri sebagai kawasan hutan simpan.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sehubungan itu setiap cadangan pembangunan termasuk melibatkan kawasan berhutan akan dinilai secara teliti berdasarkan syor dan pandangan daripada agensi teknikal berkaitan sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Kalau sekiranya agensi berkenaan tidak mensyorkan untuk diluluskan, kerajaan negeri lazimnya akan mengikut syor yang dikemukakan oleh agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dengan sesuatu kelulusan,”katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Pahang di Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan (IPGKTAA) Lipis sini hari ini.
Mengulas prestasi sektor perhutanan, Wan Rosdy berkata, hasil sektor itu pada 2025 meningkat kepada RM117 juta berbanding tahun sebelumnya, sekali gus mencerminkan perkembangan positif industri berkenaan.
Dalam pada itu Wan Rosdy berkata, kerajaan Pahang berharap Kerajaan Persekutuan dapat terus meningkatkan peruntukan Ecological Fiscal Transfer (EFT) bagi membolehkan negeri itu memperkukuh usaha pemeliharaan hutan di samping melaksanakan pelbagai program pembangunan yang memberi manfaat terus kepada rakyat.
Beliau berkata, peningkatan peruntukan EFT yang diterima saban tahun membuktikan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam menyokong negeri yang mengekalkan kawasan hutan sebagai khazanah alam.
“Pahang menerima peruntukan EFT berjumlah lebih RM24.57 juta tahun ini dan berharap jumlah itu dapat terus dipertingkatkan pada masa akan datang,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Pahang komited kekalkan 57.07 peratus hutan simpan appeared first on Kosmo Digital.






