Kelantan nafi kelayakan UEC syarat kemasukan ke KIAS

LocalPolitics
16 May 2026 • 11:26 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kelantan nafi kelayakan UEC syarat kemasukan ke KIAS
Wan Roslan berkata, sehingga kini tiada pengiktirafan diberikan terhadap kelayakan UEC bagi tujuan kemasukan ke KIAS.

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan menafikan bahawa kelayakan Unified Examination Certificate (UEC) termasuk dalam syarat kemasukan ke program asasi di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS).

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata, sehingga kini tiada pengiktirafan diberikan terhadap kelayakan UEC bagi tujuan kemasukan ke program berkenaan.

Menurut beliau, syarat kemasukan yang ditetapkan oleh pihak KIAS menyatakan program asasi hanya terbuka kepada calon yang memiliki kelayakan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau kelayakan lain yang setaraf serta diiktiraf.

"Calon yang hanya memiliki kelayakan UEC adalah tidak layak dipertimbangkan bagi kemasukan ke program asasi KIAS," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau turut menjelaskan bahawa sebarang perubahan terhadap dasar atau syarat kemasukan akan dimaklumkan melalui saluran rasmi kolej universiti itu dari semasa ke semasa.

Ujarnya, orang ramai yang memerlukan maklumat lanjut diminta merujuk laman rasmi KIAS atau menghubungi Unit Kemasukan Pelajar institusi berkenaan.

Kenyataan itu dikeluarkan ketika isu berkaitan pengiktirafan UEC kembali menjadi perhatian susulan beberapa pengumuman berkaitan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam kebelakangan ini.