liza27/10/2026 - 15:44 Gambar Aiman Kisah/Google Image Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 27 Okt – Persatuan Penambahbaikan Transit Massa Malaysia mempersoalkan kelewatan penyediaan laluan pejalan kaki yang menghubungkan Stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Gombak dengan Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Gombak dan Terminal Bersepadu Gombak yang dijangka hanya dibuka pada Mac 2027.
NGO tersebut berkata kelewatan itu menimbulkan persoalan memandangkan perkhidmatan ECRL pula dijadualkan mula beroperasi pada 12 Disember 2026.
Pertubuhan itu mempersoalkan mengapa pembinaan laluan pejalan kaki berkenaan tidak dipercepatkan supaya penyediaannya dapat diselaraskan dengan tarikh pembukaan ECRL.
TRANSIT Malaysia mengakui usaha Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) menyediakan laluan sementara bagi menghubungkan stesen berkenaan, namun menggesa syarikat itu mengemukakan pelan serta penjelasan lebih terperinci mengenai kemudahan tersebut.
Menurutnya, laluan berkenaan bakal digunakan ribuan penumpang, termasuk mereka yang membawa bagasi, menggunakan kereta sorong serta orang kurang upaya.
Sehubungan itu, TRANSIT Malaysia mencadangkan supaya pihak berkaitan dijemput meninjau kebolehgunaan laluan sementara berkenaan sebelum dibuka kepada orang ramai bagi memastikan kemudahan itu sesuai digunakan oleh pelbagai kategori penumpang.
Akses stesen penting untuk tarik penumpang
TRANSIT Malaysia berkata isu itu mencerminkan jurang maklumat antara pihak pemaju dengan orang awam, khususnya berhubung penyediaan kemudahan perjalanan ke dan dari stesen-stesen utama ECRL.
“Maklumat mengenai kemudahan akses tersebut masih terhad walaupun perkhidmatan ECRL dijadualkan beroperasi dalam tempoh kurang daripada dua bulan.
“Kami berpandangan penumpang tidak sepatutnya bergantung pada perkhidmatan e-hailing atau kereta persendirian sebagai pilihan utama untuk meneruskan perjalanan selepas tiba di stesen ECRL.
“Keadaan itu boleh menjejaskan matlamat menyediakan pengangkutan rel yang memudahkan pergerakan orang ramai, terutama apabila mengambil kira tambang tren dan kedudukan sesetengah stesen yang jauh dari pusat bandar di kawasan perkhidmatannya,” kata persatuan tersebut.
TRANSIT Malaysia turut merujuk pengalaman Taiwan High Speed Rail (THSR) yang berdepan jumlah penumpang rendah pada tahun-tahun awal operasinya akibat masalah akses yang serupa sebelum pihak berkuasa mengambil langkah menyediakan bas perantara percuma.
Kejayaan ECRL bukan sekadar pengangkutan kargo
Dalam pada itu, TRANSIT Malaysia berkata kejayaan ECRL tidak wajar diukur berdasarkan jumlah kargo yang diangkut semata-mata, meskipun perkhidmatan tren kargo itu dijangka berpotensi menggantikan 90 buah lori di jalan raya bagi setiap tren.
Sebaliknya, pertubuhan itu mahu penekanan lebih besar diberikan kepada keupayaan perkhidmatan tren penumpang mengurangkan jumlah kereta di jalan raya.
Menurutnya, usaha menggalakkan penggunaan pengangkutan rel tidak akan mencapai matlamat sepenuhnya sekiranya penumpang tidak mempunyai pilihan pengangkutan yang boleh dipercayai untuk perjalanan ke stesen dan dari stesen ke destinasi akhir.
TRANSIT Malaysia memberi amaran kegagalan menangani isu akses itu dengan segera boleh menyebabkan jumlah penumpang merosot dalam jangka panjang dan akan terus mengekalkan masalah kesesakan lalu lintas.
Justeru, pertubuhan itu menggesa pihak berkuasa yang terlibat dengan ECRL mendedahkan pelan terperinci mengenai kemudahan akses ke dan dari setiap stesen sepanjang laluan berkenaan serta mempercepatkan persiapan bagi memastikan perjalanan penumpang berjalan lancar sejak hari pertama operasi. - DagangNews.com






