Kelayakan Piala Asia B-17: Malaysia tewas 0-2 kepada Palestin

LocalFootball
9 Nov 2026 • 8:00 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Kelayakan Piala Asia B-17: Malaysia tewas 0-2 kepada Palestin

KUALA LUMPUR, 9 NOV: Hasrat skuad bola sepak bawah 16 tahun (B-16) negara untuk memulakan kempen Kelayakan Piala Asia B-17 2027 dengan langkah positif tidak kesampaian apabila tewas 0-2 kepada Palestin dalam aksi Kumpulan E malam ini.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras itu, Malaysia dikejutkan dengan jaringan Yazan Khalifah pada minit ke-17 yang memanfaatkan sepakan percuma rakan sepasukan.

Skuad negara kendalian Muhammad Shukor Adan cuba bangkit menyamakan kedudukan, namun beberapa percubaan yang dilakukan gagal menemui sasaran hingga tamat babak pertama.

Bersambung babak kedua, Palestin terus menghukum kelemahan benteng pertahanan negara apabila Yousef Bustami menggandakan kelebihan pada minit ke-52 untuk meletakkan pasukan kendalian Mohammad Yousef Mohammad Sharbaji selesa di hadapan.

Malaysia berpeluang merapatkan kedudukan pada penghujung perlawanan selepas dihadiahkan sepakan penalti, namun sepakan Ahmad Aidil Mukhridz Ahmad Ridzalman berjaya ditepis penjaga gol Palestin.

Mohamad Fazryel Ashraf Zefri kemudian menyangka berjaya meraih gol menerusi percubaan susulan, namun jaringan berkenaan dibatalkan kerana ofsaid.

Keputusan itu menyaksikan Palestin mengutip tiga mata untuk berkongsi mata dengan Singapura yang turut mencatat kemenangan ke atas Guam dalam satu lagi aksi Kumpulan E.

-- BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved