Keldai Dadah: ‘Jangan Sebarangan Terima Tawaran Bawa Barang Kiriman Ke Luar Negara’ - Shuhaily

13 Oct 2026 • 9:03 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Keldai Dadah: ‘Jangan Sebarangan Terima Tawaran Bawa Barang Kiriman Ke Luar Negara’ - Shuhaily

KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia yang melancong ke luar negara diingatkan supaya tidak sewenang-wenangnya menerima tawaran membawa barangan milik orang lain.

Ia susulan penahanan lima warga Malaysia di Tokyo, Jepun kerana disyaki cuba menyeludup lima kilogram kokain.

Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, orang ramai perlu lebih berwaspada terhadap permintaan pada saat akhir untuk membawa bungkusan atau barangan, terutama jika kandungannya tidak diketahui.

Beliau berkata, tawaran sedemikian boleh menyebabkan pelancong tanpa disedari terjebak dengan sindiket penyeludupan dadah, sekali gus berdepan tindakan undang-undang di negara destinasi.

“Orang ramai perlu sentiasa peka dan berhati-hati apabila menerima tawaran membawa barangan atau bungkusan, khususnya apabila permintaan dibuat pada saat akhir sebelum berlepas ke luar negara.

“Saya ingin mengingatkan semua rakyat Malaysia yang hendak ke luar negara supaya tidak mudah menerima tawaran untuk membawa barangan milik orang lain,” katanya.

Mohd Shuhaily turut menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran perjalanan atau pakej pelancongan tajaan daripada individu tidak dikenali, termasuk menerusi platform media sosial.

Menurut beliau, tawaran dianggap mencurigakan jika ia melibatkan permintaan dibuat menjelang waktu berlepas, dengan individu terbabit diminta membawa, memakai atau menggunakan sesuatu barangan tanpa mengetahui kandungannya.

“Orang ramai perlu berasa curiga terhadap apa-apa barangan yang diserahkan oleh individu tidak dikenali.

“Mereka mungkin akhirnya terheret dalam kes di luar negara selepas ditahan atas kesalahan menyeludup bahan terlarang, termasuk dadah,” katanya.

Beliau berkata, permintaan seumpama itu sering dibuat pada saat akhir ketika seseorang sedang membuat persiapan untuk meninggalkan negara.

Sehubungan itu, Shuhaily menggesa orang ramai supaya segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya menerima tawaran yang mencurigakan.

“Sekiranya berdepan situasi sedemikian dan mengesyaki sesuatu yang tidak kena dengan bungkusan atau barangan yang diminta untuk dibawa, segera laporkannya kepada pihak berkuasa.

“Tindakan pantas dapat mengelakkan seseorang daripada terjebak dalam kes sedemikian dan berdepan tindakan undang-undang di negara destinasi,” katanya.

Mengulas penahanan lima rakyat Malaysia di Lapangan Terbang Haneda, pada Jumaat dan Sabtu lalu, Mohd Shuhaily berkata beliau percaya tindakan pihak berkuasa Jepun itu dilakukan hasil risikan serta perkongsian maklumat.

“Saya percaya penahanan itu dilakukan pihak berkuasa Jepun selepas mereka menerima maklumat berhubung cubaan menyeludup kokain menerusi risikan dan perkongsian maklumat,” katanya.

Sebelum ini, media rasmi Jepun, NHK, melaporkan lima warga Malaysia disyaki cuba menyeludup kokain ke Jepun dengan menyembunyikan dadah berkenaan dalam kasut mereka.

Pemeriksaan kastam di lapangan terbang itu menemukan bungkusan kokain disembunyikan di bawah tapak dalam kasut berkenaan. 

Nilai dadah yang dirampas dianggarkan AS$757,300 (kira-kira RM3.2 juta).

Menurut laporan NHK, empat daripada lima suspek mengakui dakwaan terhadap mereka, manakala seorang lagi menafikannya.

Salah seorang suspek, Mohd Danial Farhan Abdul Rahman, dilaporkan memberitahu pihak berkuasa Jepun bahawa beliau berkenalan dengan seorang individu menerusi aplikasi media sosial sebelum diminta membawa dadah ke luar negara.

Individu berkenaan didakwa menawarkan bayaran lumayan kepadanya serta menyediakan sepasang kasut untuk dipakai sepanjang perjalanan. - Getaran, 13 Oktober 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved