Lima rakyat Malaysia ditahan di Jepun, seludup kokain RM3.2 juta dalam kasut

13 Oct 2026 • 9:11 AM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Lima rakyat Malaysia ditahan di Jepun kerana disyaki menyeludup kokain bernilai RM3.2 juta yang disembunyikan dalam kasut.

Lima rakyat Malaysia termasuk sepasang suami isteri ditahan pihak berkuasa Jepun selepas disyaki cuba menyeludup kira-kira lima kilogram (kg) kokain bernilai 120 juta yen (kira-kira RM3.2 juta) yang disembunyikan di dalam kasut mereka.

Menurut laporan media Jepun, Tokyo Reporter yang memetik Nippon News Network (NNN), kesemua suspek ditahan susulan pemeriksaan di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo, selepas tiba dari Malaysia.

Kegiatan itu terbongkar apabila pegawai kastam mengesyaki kasut seorang daripada suspek yang mempunyai tapak luar biasa tebal sebelum menjalankan pemeriksaan lanjut.

Barang terlarang disembunyikan di bawah pelapik kasut

Hasil pemeriksaan menemukan bungkusan kokain yang disembunyikan di bawah pelapik kasut, dengan setiap individu dipercayai membawa kira-kira satu kilogram dadah berkenaan.

Menurut laporan Fuji News Network (FNN) pula, setiap kasut mengandungi kira-kira 500 gram kokain, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan daripada lima suspek sebanyak lima kilogram.

Seorang suspek lelaki berusia 24 tahun yang dikenal pasti sebagai Mohd Danial Farhan Abdul Rahman turut ditahan bersama isterinya dan beberapa rakan yang dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan itu.

Suspek terima tawaran

Siasatan awal mendapati suspek dipercayai menerima tawaran membawa dadah ke luar negara melalui individu yang dikenalinya menerusi media sosial dengan janji bayaran lumayan.

Suspek juga dilaporkan mendakwa telah diberitahu bahawa urusan dengan petugas lapangan terbang sudah diatur dan mereka tidak akan menjalani pemeriksaan keselamatan.

Bagaimanapun, kegiatan tersebut berjaya dikesan pihak berkuasa Jepun selepas pemeriksaan terhadap kasut yang dipakai suspek.

Menurut polis Jepun, empat daripada lima individu terbabit dilaporkan mengaku terhadap dakwaan berkenaan, manakala seorang lagi menafikannya.

Pihak berkuasa kini meneruskan siasatan bagi mengenal pasti kemungkinan penglibatan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa yang menggunakan individu dari Malaysia untuk membawa bekalan kokain ke Jepun.

The post Lima rakyat Malaysia ditahan di Jepun, seludup kokain RM3.2 juta dalam kasut appeared first on The Reporter.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved