
JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri akan memperkasa institusi kekeluargaan sebagai usaha menangani pelbagai isu gejala sosial yang semakin kerap dilaporkan berlaku termasuk tekanan perasaan melampau dan pembuangan bayi.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Hasrunizah Hassan berkata, antara punca perkara itu berlaku adalah disebabkan kelemahan asas di peringkat institusi kekeluargaan.
“Situasi semasa berbeza berbanding zaman dahulu apabila generasi masa kini dilihat semakin terhakis nilai murninya akibat terdedah secara meluas kepada pengaruh gajet, kepantasan maklumat serta penyalahgunaan media sosial tanpa kawalan sewajarnya.
“Sehubungan itu, kerajaan negeri telah merangka pelbagai perancangan strategik dan inisiatif khusus bertujuan memperkasakan semula institusi keluarga secara menyeluruh di negeri ini,” katanya selepas menghadiri Program Pelancaran Ratu di Hotel Holiday Villa, di sini semalam.
Tambah beliau, aspek pembentukan sahsiah serta penerapan nilai murni dalam kalangan masyarakat tidak akan diabai meskipun Johor sedang merekodkan kemajuan pesat daripada sudut pembangunan fizikal dan teknologi digital.
“Usaha memperkasa institusi kekeluargaan ini merangkumi pelbagai peringkat usia dan tempoh perkahwinan bermula fasa pra-perkahwinan, tempoh berumah tangga antara lima hingga 10 tahun sehingga perkahwinan yang telah melangkaui tempoh 10 tahun.
“Kerajaan negeri juga dalam proses memperketat serta memperkemaskan semula modul sedia ada yang diguna pakai dalam kursus pra-perkahwinan dan bimbingan rumah tangga sedia ada,” katanya.
Hasrunizah berkata, pihaknya berharap usaha penambahbaikan modul itu mampu melahirkan masyarakat yang beretika tinggi, sekali gus membendung gejala sosial daripada terus meruncing pada masa hadapan.-UTUSAN
The post Kelemahan institusi kekeluargaan punca pelbagai gejala sosial – Exco Johor appeared first on Utusan Malaysia.






