Kelemahan pengurusan punca isu feri Pulau Tioman

27 Oct 2026 • 8:38 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kelemahan pengurusan punca isu feri Pulau Tioman

KUANTAN: Kelemahan pengurusan syarikat pengendali ketika ini dikenal pasti sebagai punca utama yang menghimpit perkhidmatan feri ke pulau peranginan Pulau Tioman di Rompin, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Ir. Razali Kassim berkata, perkara itu diperoleh berdasarkan pertemuan dengan operator sedia ada bagi mengupas isu kualiti perkhidmatan pengangkutan laut berkenaan.

Image from: Kelemahan pengurusan punca isu feri Pulau Tioman
RAZALI KASSIM

“Kita sudah meminta syarikat berkenaan supaya segera menambah baik perkhidmatan termasuk memastikan komunikasi dapat dilakukan dengan penumpang sekiranya feri mengalami kerosakan dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Razali berkata, ekoran kemelut itu, kerajaan negeri mempertimbang langkah mewujudkan perkhidmatan feri di bawah kendalian sendiri atau melantik pengendali swasta baharu.

“Kita sudah minta Lembaga Pembangunan Tioman (TDA) untuk melantik perunding bagi membuat kajian lebih terperinci dan penafsiran wajar. Langkah ini bagi memastikan apabila ia dilaksanakan kelak, ia tidak menimbulkan sebarang masalah kepada kerajaan negeri.

“Buat masa ini, kerajaan negeri tidak mempunyai kepakaran dalam aspek pengoperasian feri. Sebab itu kita memerlukan pandangan konsultan bagi menentukan kehendak dari segi perjawatan, bot dan pelan operasi,” katanya.

Semalam, akhbar ini melaporkan, masalah kelewatan perkhidmatan feri ke Pulau Tioman yang berlarutan sejak sekian lama terus mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan pengunjung, sekali gus menjejaskan reputasi pulau peranginan tersebut.

Pelancong tempatan, Mohd. Asyraf Mohammad Razif, 35, dilaporkan berkata, beliau serik dan kecewa apabila terpaksa menunggu sehingga lapan jam akibat kelewatan feri semasa bercuti bersama empat ahli keluarganya.

Isu tersebut turut mendapat perhatian Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menitahkan kerajaan Pahang supaya bersedia menyediakan perkhidmatan feri yang berkualiti ke Pulau Tioman meskipun terpaksa mengeluarkan perbelanjaan atau subsidi yang besar.

Isu perkhidmatan feri ke Pulau Tioman mendapat perhatian selepas berlaku kenaikan harga tiket sebanyak dua kali dalam tempoh setahun, selain masalah kelewatan feri yang sering berlaku sehingga membimbangkan pelbagai pihak.

Awal tahun ini, harga tiket feri pergi-balik bagi pelancong tempatan ditawarkan pada kadar RM90, sebelum melonjak kepada RM120 dan terbaharu mencecah RM150.

Ketika ini, kadar tambang sehala dari Jeti Teluk Gading ke Pulau Tioman adalah RM75 bagi warganegara dewasa dan RM90 bagi warga asing dewasa, manakala penduduk tempatan Pulau Tioman dikenakan tambang RM45. – UTUSAN

The post Kelemahan pengurusan punca isu feri Pulau Tioman appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved