amree01/07/2026 - 09:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 1 Julai — Masalah kelewatan pelaksanaan pelan pembesaran hospital menjadi antara kekangan utama yang menjejaskan prestasi Sunway Healthcare Holdings Berhad, menurut RHB Research.
Firma penyelidikan tersebut turut berpandangan, kumpulan itu berisiko mengalami tekanan tinggi ke atas margin keuntungan serta terdedah kepada perubahan dasar kawal selia sektor penjagaan kesihatan.
Kesemua cabaran berkenaan jelasnya, dikhuatiri boleh berlaku dalam tempoh beberapa tahun akan datang, meskipun syarikat mungkin berada pada kedudukan stabil berdasarkan rekod pertumbuhan operasi.
"Justeru kami memulakan liputan ke atas Sunway Healthcare dengan saran 'beli' dan menetapkan harga sasaran (TP) RM2.14 sesaham berdasarkan kaedah aliran tunai terdiskaun (DCF)," kata RHB Research.
Menurutnya, kumpulan itu merupakan aset penjagaan kesihatan premium, dan kekurangan saham institusi berikutan pegangan awam yang kecil, iaitu kurang 18%, di samping status dalam indeks FBM KLCI.

Syarikat ini bergantung pada model operasi bersepadu menggabungkan lima hospital dengan tunjangnya ialah Sunway Medical Centre Sunway City Kuala Lumpur yang menawarkan pelbagai rawatan subkepakaran.
Perkembangan tersebut ujar RHB Research menyebabkan Sunway Healthcare perlu menjana bil rawatan tinggi serta menarik ramai pesakit antarabangsa, untuk menyokong pertumbuhan hasil secara mampan.
"Selain itu, model ekosistem bersepadu yang dibangunkan bersama kumpulan Sunway dilihat mungkin mengurangkan risiko pembukaan hospital baharu melalui aliran pesakit yang lebih stabil," katanya.
Sehubungan itu, firma tersebut mengunjurkan perolehan kasar syarikat berkembang sederhana hanya pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 22.2% bagi tempoh 2025 hingga 2028.
Bagaimanapun, RHB Research mengingatkan isu kelewatan dalam merealisasikan pelan pembesaran hospital, dan peningkatan kos operasi boleh menekan margin Sunway Healthcare. - DagangNews.com





