
SEBERANG PERAI – Kemunculan imej yang memaparkan kelibat seekor buaya di dalam saliran air di hadapan Hospital Seberang Jaya di sini mencetuskan persoalan mengenai kesahihan kehadiran reptilia itu di kawasan berkenaan.
Imej yang tular di media sosial hari ini mengundang pelbagai reaksi pengguna, malah ada yang mendakwa tidak pernah melihat kelibat buaya di lokasi tersebut sebelum ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Izhar Shah Arif Shah berkata, beliau telah memaklumkan perkara itu kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sejurus menerima maklumat berkenaan.
Menurutnya, beberapa pihak turut membantu membuat semakan bagi menentukan sama ada imej tersebut tulen atau dihasilkan menggunakan kecerdasan buatan (AI).
“Dalam masa sama, ada juga rakan-rakan yang prihatin membantu membuat semakan sama ada gambar tersebut tulen atau direka menggunakan AI.
“Walau bagaimanapun, saya tetap membawa perkara ini kepada perhatian Perhilitan dan JPS serta mencadangkan supaya siasatan dilakukan bagi mengesan kehadiran reptilia itu dan mengambil tindakan sewajarnya.
“Betul ada buaya atau imej itu direka, keselamatan awam tetap menjadi keutamaan,” tulisnya di Facebook, petang tadi. -KOSMO! ONLINE
The post Kelibat buaya dalam parit Hospital Seberang Jaya appeared first on Kosmo Online.






