Lebih dua minggu selepas seorang juruterbang Malaysia Airlines ditahan di Indonesia kerana didakwa cuba menyeludup lebih 70,000 pil ekstasi bernilai kira-kira RM13.5 juta ke Jakarta, perkembangan terbaharu kes itu kini mendapat perhatian.
Juruterbang warga Malaysia berusia 39 tahun itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta pada 28 Julai lalu.
Advertisement
Identitinya tidak didedahkan kepada umum, namun gambarnya sebelum ini telah diterbitkan pihak Kastam dan Eksais Indonesia.
Suspek berdepan pertuduhan mengikut Artikel 113(2), 114(2) dan 132(1), Undang-Undang Republik Indonesia No. 35 Tahun 2009 mengenai Narkotika yang membawa hukuman berat termasuk penjara seumur hidup sehingga hukuman mati oleh skuad penembak jika sabit kesalahan.
Bukit Aman Selesai Soal Siasat
Dalam perkembangan terbaharu, sepasukan pegawai daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dilaporkan telah terbang ke Jakarta selepas mendapat kebenaran pihak berkuasa Indonesia untuk menemu bual suspek.

Menurut peguam Indonesia yang mewakili juruterbang berkenaan, Ahmad Rizky Martua Lubis, proses soal siasat oleh pegawai Malaysia telah selesai dijalankan di ibu pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Polis Nasional Indonesia di Jakarta.
Sesi tersebut pada awalnya dijadualkan berlangsung selama dua hari, namun berjaya diselesaikan dalam tempoh sehari.
“Soal siasat dijadualkan berlangsung pada Rabu dan Khamis, tetapi ia hanya mengambil masa sehari penuh, manakala [Khamis] diperuntukkan untuk menyediakan laporan,” katanya.
Ahmad Rizky turut memaklumkan bahawa anak guamnya kini ditahan untuk tempoh lanjutan sehingga empat bulan mengikut peruntukan undang-undang narkotik Indonesia.
Keluarga Dibenarkan Bertemu Beberapa Kali
Dalam pada itu, keluarga juruterbang tersebut dilaporkan sudah beberapa kali melawatnya sejak penahanan berlaku sebelum mereka kembali ke Kuala Lumpur.
Menurut peguamnya, keadaan juruterbang berkenaan berada dalam keadaan baik sepanjang berada dalam tahanan.
“Alhamdulillah, dia (juruterbang) sihat. Dia makan dan tidur dengan baik.”
Malah, pihak polis Indonesia dikatakan memberikan akses kepada ahli keluarganya untuk bertemu suspek.
“Juruterbang itu dibawa keluar dari tahanan untuk bertemu keluarganya. Mereka berbual dan berkongsi perasaan antara satu sama lain,” katanya.
Bagaimanapun, keluarga suspek meminta agar privasi mereka dihormati dan memilih untuk tidak memberikan ulasan lanjut mengenai pertemuan tersebut.
Enam Peguam Bakal Beri Perkembangan Kes
Pasukan pembelaan yang terdiri daripada enam peguam pula dijangka mengadakan sidang media di Jakarta pada minggu hadapan bagi memberikan perkembangan lanjut mengenai kes berkenaan.
Ahmad Rizky menegaskan pihaknya komited memberikan pembelaan kepada warga Malaysia tersebut selaras dengan undang-undang Indonesia.
“Kami komited untuk mewakili seorang warga Malaysia.
“Indonesia menjunjung hak asasi manusia dan mengikut undang-undang kami, semua suspek yang didakwa atas kesalahan membawa hukuman penjara melebihi lima tahun mesti diberikan khidmat guaman.”
Buat masa ini, juruterbang tersebut kekal berada di bawah bidang kuasa Indonesia sementara siasatan diteruskan.
Juruterbang Malaysia Ditahan Di Jakarta, Disyaki Seludup 25 Kilogram Syabu Dan 70,114 Pil Ekstasi
Pada masa sama, pihak berkuasa Malaysia turut menyiasat bagaimana bagasi yang didakwa mengandungi dadah itu boleh melepasi pemeriksaan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Siasatan juga dijalankan bagi menentukan sama ada kes tersebut mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran dadah antarabangsa.
Susulan penahanan itu, Malaysia Aviation Group (MAG) selaku syarikat induk Malaysia Airlines turut memperkenalkan langkah tambahan saringan dadah terhadap juruterbangnya.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

Juruterbang Malaysia Ditahan Di Jakarta, Disyaki Seludup 25 Kilogram Syabu Dan 70,114 Pil Ekstasi
The post Keluarga Dibenarkan Melawat, Bukit Aman Jalankan Soal Siasat: Ini Perkembangan Terkini Juruterbang Malaysia Ditahan Di Jakarta first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.






