Keluarga Pelatih IPG Lemas Tuntut Laporan Terbuka, Harap Tragedi Tak Berulang

LocalFamily & Parenting
7 Apr 2026 • 1:07 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR — Keluarga pelatih guru dari Kampus Institut Pendidikan Guru (IPG) Perlis yang lemas ketika berkayak Sabtu lalu, menyuarakan harapan agar tragedi seumpama itu tidak akan berulang.

Ibu saudara kepada Joey Ling Lin Siang, Kee Ching Ching, 46, berkata keluarga itu turut menuntut satu laporan penuh dan telus berhubung insiden berkenaan daripada pihak berkuasa berkaitan.

“Kami berharap laporan tersebut dibuat secara menyeluruh dan telus, khususnya berkaitan prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti berkayak.

“Kami juga ingin mengetahui sama ada lokasi itu sesuai untuk aktiviti sedemikian, dan kami menggesa Kementerian Pendidikan supaya mengkaji semula silibus yang melibatkan program luar,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Star lewat malam tadi.

Dalam kejadian Sabtu lalu, dua pelajar Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Pendidikan Jasmani, Christopher Ling Jia Siang, 21, dan Joey Ling Lin Siang, 20, ditemukan lemas kira-kira jam 7.30 malam ketika menjalankan aktiviti berkayak di Pantai Merdeka berhampiran Sungai Petani, Kedah.

Christopher berasal dari Kuching, manakala Joey berasal dari Sibu.

Kedua-dua jenazah telah diterbangkan pulang ke Sarawak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pagi tadi. 

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, sempat meluangkan masa bertemu keluarga mangsa dan memberi penghormatan terakhir sebelum berlepas ke Pulau Pinang dari Hospital Sultanah Bahiyah pada jam 11.15 malam tadi.

Lebih 100 rakan pelatih dari Kampus IPG Perlis yang dilanda kesedihan turut berkumpul di Jabatan Forensik berkenaan, sekali gus mewujudkan suasana pilu di seluruh kawasan tersebut. — Getaran, 7 April 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved